‘Apalah gunanya bangunan yang berdiri megah tetapi rakyatnya resah dan gelisah’ – Dr. Zaliha
SEORANG pemimpin yang hebat bukan sekadar individu yang memegang kuasa, tetapi seseorang yang mampu memberi inspirasi, membawa perubahan dan membimbing pengikutnya ke arah kejayaan.
Kepimpinan yang cemerlang lahir daripada gabungan visi yang jelas, kebijaksanaan dalam membuat keputusan serta keberanian menghadapi cabaran.
Dalam sejarah, dunia telah menyaksikan pelbagai pemimpin yang meninggalkan legasi luar biasa, sama ada dalam politik, ketenteraan, ekonomi atau sosial.
Mereka bukan sahaja memiliki karisma, tetapi juga daya juang yang tinggi dalam memperjuangkan kebenaran dan kesejahteraan rakyat.
Apa yang membezakan pemimpin yang hebat ialah keupayaan mereka memahami keperluan masyarakat, membuat keputusan berdasarkan nilai-nilai keadilan serta menyesuaikan diri dengan perubahan zaman tanpa mengorbankan prinsip yang dipegang.
Kejayaan mereka bukan sekadar diukur melalui pencapaian peribadi, tetapi sejauh mana mereka dapat membina sebuah tamadun yang memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Ketika menghadiri Majlis Aspirasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa di Kompleks Perbadanan Putrajaya siang tadi, penulis tersentuh dengan ucapan yang dituturkan beliau pada akhir acara.
Dr. Zaliha menegaskan bahawa ada satu perkara yang lebih besar daripada segala pencapaian material yang dikecapi iaitu keberkatan dalam kehidupan.
“Apalah gunanya kekayaan yang melimpah ruah tapi hati tidak tenang. Apalah gunanya bangunan yang berdiri megah tetapi rakyatnya resah dan gelisah,” ucap beliau yang membuatkan mata saya kembali segar.
Beliau turut memetik makna intipati ayat 20 surah Al-Hadid yang menjelaskan bahawa dunia ini tidak akan pernah cukup bagi mereka yang mengejarnya tanpa redha.
Firman Allah SWT: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredhaan daripada Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
Jelas beliau, kekayaan itu tidak salah, kemajuan juga tidak silap. Tetapi jika ia dikejar tanpa keberkatan, kita akan terus rasa kosong dan tidak akan pernah puas dengan apa yang kita ada.
Malah, beliau turut membawakan kisah yang berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, iaitu seorang pemimpin yang tidak menganggap kuasa sebagai keistimewaan, tetapi sebagai sebuah amanah yang berat untuk dipikul.

“Setiap langkahnya dimulakan dengan memperbaiki niat, bukan untuk memperkayakan diri, bukan untuk mengangkat keluarga sendiri, tetapi untuk memastikan keadilan dan kesejahteraan sampai kepada setiap ceruk dan rakyat.
“Pemerintahannya begitu adil dan bersih daripada rasuah, sehinggakan dalam tempoh dua tahun lebih sahaja, tiada seorang pun rakyatnya yang layak menerima zakat. Bagaimana beliau melakukannya? Iaitu dengan menjauhi pembaziran dan membanteras segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa.
“Inilah contoh integriti kepimpinan Islam yang sentiasa memerangi rasuah dan memastikan bahawa harta rakyat tidak disalahgunakan walau satu sen pun,” jelasnya.
Menurut Dr. Zaliha lagi, dalam hidup ini, kita perlu ada rasa cukup dan redha.
“Jika hati kita penuh dengan kecintaan kepada dunia, kita tidak akan pernah puas. Tetapi jika kita mencari keberkatan, Allah akan mencukupkan segala yang kita ada.
“Ini bukan soal kita tidak boleh berusaha mencari harta atau mengejar kekayaan. Tetapi jika kita tidak mencari keberkatan dalam harta, kita akan sentiasa merasa tidak cukup. Lihatlah di sekeliling kita.
“Ada yang hartanya banyak, tapi hatinya resah. Ada yang hartanya sederhana, tapi hidupnya penuh ketenangan. Apakah perbezaannya? Keberkatan.
“Jika kita memerintah dengan adil, keberkatan akan datang. Jika kita menguruskan harta dengan amanah, keberkatan juga akan datang dan apabila keberkatan hadir, Allah akan bantu kita dengan rasa cukup,” ungkap beliau lagi.

Mengakhiri ucapannya, beliau turut menyeru semua yang hadir khususnya para pimpinan, warga kerja dan seluruh warga Wilayah Wilayah Persekutuan dengan kata-kata berbunyi:
“Jika kita diberikan kuasa, gunakanlah dengan amanah; jika kita diberikan harta, gunakanlah dengan jujur; jika kita diberikan kedudukan, jangan sekali-kali menyalahgunakannya untuk kepentingan diri dan keluarga.
“Jangan kita biarkan sejarah mencatat bahawa kita adalah generasi yang merosakkan. Sebaliknya biarlah sejarah menulis bahawa kitalah pencipta generasi yang membina sebuah Wilayah Persekutuan yang adil, sejahtera dan makmur untuk semua.”
Buat Dr. Zaliha, terima kasih di atas peringatan yang indah dan penuh makna ini.
Meskipun pada awalnya saya mendengar ucapan Dr. tanpa sebarang perasaan teruja, namun pada akhirnya saya hampir menitiskan air mata.
Semoga Dr. terus mengekalkan prinsip kepimpinan yang penuh dedikasi, jujur dan amanah demi perjuangan pada agama, bangsa dan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












