Pakar arkeologi dinobat Tokoh Akademik Negara
SUBANG JAYA – Pakar arkeologi tersohor negara, Profesor Emerita Dr Siti Zuraina Abdul Majid dari Universiti Sains Malaysia (USM) dinobat sebagai Tokoh Akademik Negara sempena Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-16.
Profesor Zuraina berkata, beliau bersyukur dan terharu kerana tidak menyangka hasil usahanya selama hampir lima dekad dalam bidang arkeologi diiktiraf pada peringkat tertinggi.
“Saya rasa syukur alhamdulillah sebab ini sesuatu yang saya tak sangka akan terima. Sepanjang masa saya buat kerja, saya tak harapkan apa-apa ganjaran. Ini benar-benar satu kejutan dan saya berterima kasih kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas AAN Ke-16 yang telah disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Dorsett Grand Subang, di sini hari ini.
Anugerah berprestij itu merupakan pengiktirafan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada ahli akademik negara yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Sebanyak tujuh kategori berprestij dipertandingkan dalam AAN Ke-16 melibatkan 15 anugerah, namun hanya sembilan pemenang menepati kriteria tahun ini.
Profesor Zuraina, saintis ulung yang disegani dunia, dikenali melalui penemuan arkeologi yang mengubah pemahaman prasejarah Malaysia sejak akhir 1970-an.
Antara kejayaan besarnya ialah penemuan teknologi alat batu paleolitik tertua di Asia Tenggara, serta bukti perluasan budaya gangsa dari Thailand ke Malaysia.
Beliau turut menemui rangka Perak Man yang berusia 10,000 tahun dan mempunyai kecacatan genetik, sekali gus membuka lembaran baharu dalam sejarah sains perubatan dan genetik negara.
Hasil sumbangannya juga membawa kepada pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012.
Penemuan penting itu turut mengesahkan peranan Lenggong sebagai laluan migrasi manusia dari Afrika ke Australia, yang menyumbang kepada teori sejarah manusia global.
Profesor Zuraina turut menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Women at 50 Yale Award dan Anugerah Merdeka, serta terus aktif sebagai pakar rujuk warisan dan akademik.
Tokoh Akademik Negara Ke-16 itu menerima trofi, sijil dan wang tunai RM200,000 sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan besar beliau kepada dunia ilmu
Pada masa sama, Profesor Zuraina turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan arkeologinya, USM, kerajaan serta arwah suaminya yang menjadi pendorong utama dalam perjuangan membina Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia.
“Hampir 50 tahun saya berkecimpung dalam bidang ini. Saya bersyukur kerana dapat lihat arkeologi berkembang maju di USM dan berada di tangan mereka yang pakar serta berkebolehan. Saya puas hati kerana benih yang ditanam kini sudah menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan,” katanya.
Profesor Zuraina turut menitipkan pesanan kepada penyelidik dan pelajar muda supaya benar-benar mencintai bidang yang diceburi dan menjadikannya wadah membina negara.
“Adalah penting untuk seorang akademik menyayangi apa yang dibuat dan membantu membangunkan bidang itu. Dulu bidang ini tiada, tapi dengan sokongan ramai, termasuk USM, kita berjaya membina arkeologi untuk negara,” katanya.
Beliau menegaskan bidang arkeologi kini telah matang dan menjadi bukti kejayaan usaha gigih warga akademik tempatan dalam mengangkat martabat ilmu di Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













One Comment