AS raih keuntungan besar selepas Maduro disingkirkan
HAMILTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Washington kini memperoleh manfaat besar daripada hasil minyak Venezuela susulan operasi ketenteraan yang menyingkirkan bekas Presiden negara itu, Nicolás Maduro.
Menurut Trump, operasi yang dilaksanakan di Venezuela itu berjaya diselesaikan dalam tempoh hanya 48 minit 13 saat.
“Saya membina angkatan tentera paling kuat di dunia dalam tempoh empat tahun pertama saya dan ia terbukti di Venezuela,” katanya dalam temu bual bersama Fox News selepas lawatan ke China.
Trump berkata, walaupun Venezuela memiliki kekuatan ketenteraan yang besar, operasi tersebut tetap berlangsung pantas dan mencapai objektif utama AS.
“Selain itu, kami meraih keuntungan besar daripada minyak mereka,” katanya.
Menurut beliau, Venezuela turut memperoleh pendapatan lebih tinggi dalam tempoh lapan bulan kebelakangan ini berbanding sedekad lalu hasil pemulihan sektor tenaga negara berkenaan.
Maduro sebelum ini ditahan dalam operasi khas AS di Caracas pada awal Januari lalu sebelum dibawa ke New York bagi menghadapi pertuduhan berkaitan pengedaran dadah dan keganasan narkotik yang difailkan oleh pihak berkuasa AS sejak 2020.
Washington mendakwa Maduro terlibat dalam rangkaian penyeludupan kokain ke AS serta mempunyai hubungan dengan kumpulan kartel dadah antarabangsa.
Penahanan beliau sekali gus menamatkan hampir 14 tahun pemerintahan yang berdepan kritikan antarabangsa susulan krisis ekonomi, dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan kontroversi pilihan raya di Venezuela.
Bagaimanapun, operasi tersebut turut mencetuskan kontroversi apabila pelbagai imej dan video palsu berkaitan penahanan Maduro tersebar di media sosial, termasuk kandungan yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Dalam perkembangan lain, Trump berkata AS turut merancang perubahan di Cuba dan menyifatkan negara itu berada dalam keadaan gagal.
Beliau turut mengesahkan Havana menerima bantuan kemanusiaan bernilai AS$100 juta yang diumumkan Washington baru-baru ini dan amat memerlukan sokongan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












