RENCANA

AS tarik sekatan ekonomi terhadap Syria. Apa kita tahu setakat ini?

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini mengumumkan penarikan semua sekatan ekonomi terhadap Syria, menandakan perubahan drastik dasar luar negara itu terhadap Asia Barat selepas konflik lebih satu dekad.

Pengumuman itu dibuat Trump dalam ucapannya di Forum Pelaburan Riyadh yang menyaksikan Washington mengambil pendekatan baharu terhadap Syria susulan kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada akhir tahun lalu dan pelantikan Ahmed al-Sharaa sebagai Presiden Interim.

Langkah itu menurut AS adalah untuk memberi peluang kepada kerajaan baharu Syria untuk menstabilkan negara dan mengekalkan keamanan.

Keputusan ini juga dilihat sebagai tindak balas terhadap tekanan antarabangsa yang semakin meningkat, dengan negara-negara seperti Arab Saudi, Turki, Qatar dan Perancis menggalakkan penglibatan AS dalam proses pemulihan Syria.

“Saya telah mengarahkan penamatan semua sekatan terhadap Syria. Ini masanya mereka diberi peluang untuk membina semula kehebatan mereka,” kata Trump di hadapan pemimpin dan pelabur serantau.

Langkah itu sekaligus membuka jalan kepada pelaburan asing dan bantuan antarabangsa untuk pemulihan Syria, yang selama ini tergendala oleh sekatan ekonomi serta tekanan diplomatik sejak perang saudara pada 2011.

Penarikan sekatan oleh AS ini dijangka memberi impak besar kepada ekonomi Syria, khususnya dalam sektor infrastruktur, pembinaan semula, tenaga, dan teknologi.

Usaha pemulihan yang selama ini terbantut akibat sekatan kini dijangka dipercepat dengan kemasukan pelaburan luar.

Sebagai sebahagian daripada lawatan diplomatiknya ke Timur Tengah, Trump turut mengumumkan perjanjian pelaburan bernilai AS$600 bilion (RM2.8 trilion) bersama Arab Saudi, termasuk perjanjian pertahanan terbesar antara kedua-dua negara yang bernilai AS$142 bilion.

Namun reaksi terhadap keputusan tersebut bercampur-campur.

Arab Saudi dan negara-negara Teluk menyambut baik langkah itu sebagai pemangkin kepada kestabilan serantau.

Sebaliknya, Israel menyuarakan kebimbangan bahawa kelonggaran sekatan mungkin memberi ruang kepada elemen ekstremis untuk bangkit semula.

Di Washington, beberapa ahli Kongres turut melahirkan keraguan terhadap tindakan ini.

Senator Lindsey Graham memberi amaran bahawa menarik balik sekatan tanpa syarat yang ketat boleh membuka ruang kepada ketidakstabilan baharu jika pentadbiran Syria tidak berpegang kepada prinsip hak asasi manusia dan reformasi politik.

Presiden Interim Ahmed al-Sharaa, Syria

Dengan pentadbiran baharu di bawah Presiden Interim Ahmed al-Sharaa, Syria kini dilihat oleh masyarakat antarabangsa sebagai lebih terbuka dan pragmatik.

Al-Sharaa sebelum ini menyatakan komitmennya untuk menjalin hubungan dengan negara-negara Barat serta menolak sebarang bentuk ekstremisme.

Penganalisis geopolitik antarabangsa pula melihat langkah AS ini sebagai cubaan untuk menyaingi pengaruh China dan Rusia di Timur Tengah, selain memperkukuh hubungan strategik dengan negara-negara Islam yang penting.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button