BAM tidak akan berkompromi dengan masalah disiplin pemain
KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemain yang terlibat dengan masalah disiplin sehingga menjejaskan reputasi badan induk sukan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, pemain yang gagal mematuhi peraturan selepas diberikan peluang dan amaran secukupnya berdepan risiko disingkirkan daripada skuad kebangsaan.
Menurut legenda badminton negara itu, pendirian tegas berkenaan dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa BAM bersama Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Pemain perseorangan dan beregu utama seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei adalah ikon negara.
“Apa yang dilakukan oleh pemain senior akan menjadi ikutan pemain muda di peringkat negeri mahupun pelapis.
“Jadi, pemain senior perlu menunjukkan contoh terbaik. Dalam mesyuarat jawatankuasa, kita sudah berbincang dan akan memberikan amaran terakhir.
“Presiden juga sudah menyatakan bahawa pemain yang mempunyai masalah disiplin akan dikeluarkan,” katanya.
Chong Wei berkata, pemain senior perlu menyedari mereka memikul tanggungjawab besar sebagai ‘role model’ kepada generasi pelapis sekali gus memastikan tingkah laku mereka sentiasa mencerminkan profesionalisme seorang atlet kebangsaan.
Mengulas lanjut, beliau mendedahkan telah mengadakan pertemuan empat mata dengan pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao sebelum Terbuka Malaysia bagi membincangkan kemerosotan prestasi pemain itu yang dikaitkan dengan isu disiplin.
Katanya, tindakan mendedahkan perkara tersebut secara terbuka dibuat atas dasar ketelusan seperti yang disarankan Presiden BAM agar setiap pemain memahami kesungguhan pihak pengurusan dalam menangani isu disiplin.
“Saya sudah cakap kepada Jun Hao, saya tidak mahu dengar apa-apa alasan lagi. Dia sendiri mengaku ada masalah disiplin dan sekarang dia perlu bangkit untuk lawan balik serta buktikan kemampuan dirinya jika mahu kekal dalam pasukan,” katanya.
Terdahulu, Chong Wei turut memberi amaran keras kepada pemain yang masih berdegil dengan masalah disiplin supaya tidak menganggap BAM akan terus bertolak ansur, sebaliknya bersedia mengambil tindakan tegas demi menjaga imej dan integriti badminton negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












