Banjir diramal landa 10 jajahan Kelantan mulai esok
KOTA BHARU – Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) mengeluarkan Ramalan Awal Banjir susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS memaklumkan, banjir dijangka berlaku antara 5 hingga 8 Januari ini di 10 jajahan, membabitkan beberapa lembangan sungai utama di negeri berkenaan.
Jajahan terbabit ialah Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang, Kota Bharu, Pasir Puteh, Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang, antaranya merangkumi Lembangan Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Semerak, Sungai Kemasin, Sungai Lebir, Sungai Galas dan Sungai Nenggiri.
Menurut kenyataan itu, JPS akan melaksanakan pemantauan berterusan dan hebahan amaran banjir akan dikemas kini sekiranya hujan ketara berterusan di lembangan sungai terbabit.
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh yang dijangkakan,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk, khususnya di kawasan berisiko diminta supaya berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Orang ramai juga disarankan mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui portal publicinfobanjir.water.gov.my atau laman Facebook PublicInfoBanjir.
Semalam, MetMalaysia mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) susulan jangkaan hujan berpanjangan di beberapa negeri bermula minggu hadapan.
Menurut MetMalaysia, hujan berterusan dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula 5 hingga 8 Januari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












