BERITA SEMASADALAM NEGERI

Bayaran tertunggak kontraktor Bumiputera perlu diaudit – Wan Saiful

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, menggesa Ketua Audit Negara menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan kegagalan kerajaan menyelesaikan bayaran tertunggak kepada kontraktor Bumiputera, khususnya yang terlibat dalam perkhidmatan kebersihan sekolah.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat daripada beberapa wakil kontraktor kecil, masih terdapat kontraktor di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Selangor, Pahang, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan yang belum menerima bayaran bagi kerja yang dilaksanakan sejak tahun lalu.

“Kelewatan ini dikatakan berpunca daripada Arahan Perbendaharaan (AP58) yang dikeluarkan pada penghujung tahun 2024.

“Lazimnya memang berlaku kelewatan pada hujung tahun namun di bawah pentadbiran kerajaan hari ini tempoh tertangguh terlalu lama dan tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mendedahkan bahawa pelarasan bayaran untuk kenaikan gaji minimum yang sepatutnya telah dibuat, juga masih belum dilunaskan.

Situasi itu menurutnya telah memberi tekanan kewangan besar kepada para usahawan bumiputera.

“Sebahagian usahawan terpaksa berhutang dan menggunakan kaedah ‘factoring’ untuk meneruskan operasi, sekali gus menanggung kos faedah tambahan yang tidak sepatutnya timbul jika kerajaan lebih cekap,” katanya.

Wan Saiful turut membidas pemimpin kerajaan yang menurutnya “terpisah daripada realiti rakyat” apabila sibuk mempamerkan gaya hidup mewah di luar negara.

“Kerajaan ini tidak peduli beban yang ditanggung rakyat. Saya sudah bangkitkan isu ini sejak 2023, tetapi lebih dua tahun berlalu tanpa sebarang penyelesaian tuntas. Ini bukan sahaja soal kecekapan, tetapi juga soal keprihatinan,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau mendesak Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengambil tindakan segera menyelesaikan segala bayaran tertunggak serta memastikan perkara sama tidak berulang.

“Saya juga menggesa Ketua Audit Negara segera menjalankan audit terhadap kelemahan ini,” tambah beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button