Bayi perempuan tak bernyawa ditemukan belakang pasar raya di Shah Alam
SHAH ALAM – Mayat bayi perempuan ditemukan dalam plastik dipercayai ditinggalkan di tepi lorong belakang sebuah pasar raya di Jalan Ria 25/62, Seksyen 25, di sini, pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima panggilan orang awam memaklumkan menjumpai bayi itu kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Anggota ronda yang bertugas di lapangan diarahkan ke tempat kejadian serta mengesahkan maklumat, seterusnya dijadikan sebagai maklumat pertama.
“Siasatan awal mendapati, pihak polis menerusi Pusat Kawalan IPD Shah Alam menghubungi pihak ambulans dan pihak ambulans mengesahkan bahawa bayi perempuan yang ditemukan itu sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Ramsay berkata, bantuan Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hadir untuk mengendalikan tempat kejadian bagi mengumpul sebarang bukti dan barang kes yang boleh membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian disyaki bayi itu dilahirkan di tempat lain dan dibuang di tempat kejadian. Bayi itu dipercayai ditinggalkan anggaran tujuh hingga lapan jam sebelum ditemui,” katanya.
Tambah Ramsay, siasatan masih diteruskan bagi mengumpul segala bukti dan keterangan yang ada di sekitar kawasan tempat kejadian.
“Mayat bayi itu dihantar ke Unit Forensik Jabatan Patologi, Hospital Klang untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan secara rahsia menyembunyikan kelahiran sama ada bayi mati sebelum atau selepas melahirkan. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-17554394,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












