SUKAN

Bekas penjaga gol Arsenal maut dirempuh tren di Austria

VIENNA – Dunia bola sepak dikejutkan dengan pemergian bekas penjaga gol Arsenal, Alexander Manninger, yang maut selepas keretanya dirempuh tren dalam satu kemalangan tragis di Austria, semalam.

Manninger, 48, dilaporkan meninggal dunia selepas tren melanggar kenderaan yang dipandunya ketika melintasi landasan di wilayah Salzburg, menurut laporan agensi berita Austria, APA.

Bekas kelabnya, Red Bull Salzburg mengesahkan berita tersebut dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Kami meratapi pemergian bekas penjaga gol kami, Alexander Manninger yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Ingatan kami bersama keluarga dan rakan-rakannya,” menurut kenyataan kelab itu menerusi hantaran di Facebook.

Turut menyatakan rasa dukacita ialah Persatuan Bola Sepak Austria serta Arsenal yang menyifatkan pemergian itu sebagai kehilangan besar kepada dunia bola sepak.

“Dunia bola sepak kehilangan seorang insan yang sangat istimewa,” menurut ciapan persatuan itu di platform X.

“Semua di Arsenal terkejut dan amat berdukacita atas pemergian tragis Alex Manninger,” kata kelab itu pula.

arsenal
Aksi Manninger ketika zaman kegemilangannya.

Pihak polis memaklumkan kemalangan itu tidak melibatkan mangsa lain dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sepanjang kariernya, Manninger pernah membuat 64 penampilan bersama Arsenal antara 1997 hingga 2002 dan merupakan sebahagian daripada skuad yang memenangi Liga Perdana Inggeris serta Piala FA.

Beliau sering menjadi pilihan kedua di belakang penjaga gol utama, David Seaman, namun memainkan peranan penting ketika ketiadaan pemain itu akibat kecederaan.

Malah, Manninger membantu Arsenal menjulang kejuaraan berganda liga dan Piala FA pada musim 1997/98, musim pertama penuh kendalian pengurus legenda, Arsene Wenger.

Bekas rakan sepasukannya, Seaman menyifatkan Manninger sebagai pemain muda yang berbakat besar ketika mula menembusi skuad utama.

“Bagi pemain berusia sekitar 20 tahun untuk beraksi pada tahap itu bersama Arsenal adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Selain Arsenal, Manninger turut beraksi bersama beberapa kelab Eropah termasuk di Itali dan Austria serta pernah mewakili skuad kebangsaan Austria di pentas antarabangsa termasuk kejohanan UEFA Euro 2008.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button