Bekas Ratu Thailand mangkat pada usia 93 tahun
BANGKOK – Bekas Ratu Thailand, Sirikit iaitu bonda kepada Raja Vajiralongkorn dan isteri kepada mendiang Raja Bhumibol Adulyadej mangkat semalam pada usia 93 tahun.
Menurut kenyataan rasmi daripada Biro Rumah Tangga Diraja, keadaan kesihatan baginda telah merosot sejak beberapa hari lalu.

“Keadaan baginda semakin teruk sehingga Jumaat dan baginda mangkat pada pukul 9:21 malam di Hospital Chulalongkorn pada usia 93 tahun,” menurut kenyataan itu.
Sirikit dimasukkan ke hospital sejak 2019 akibat beberapa masalah kesihatan termasuk jangkitan darah yang dikesan awal bulan ini.
Dilahirkan pada 12 Ogos 1932 di Bangkok, Sirikit Kitiyakara berkahwin dengan Raja Bhumibol Adulyadej pada tahun 1950 dan memainkan peranan penting sebagai permaisuri sepanjang tempoh pemerintahan suaminya selama tujuh dekad.

Ia menjadikan Raja Bhumibol sebagai pemerintah paling lama dalam sejarah moden Thailand.
Sebagai figura diraja yang berpengaruh, Ratu Sirikit sering digambarkan sebagai lambang kelembutan dan patriotisme Thailand.
Baginda aktif dalam pelbagai program kebajikan terutamanya dalam memperkasa wanita luar bandar melalui Queen Sirikit Foundation dan usaha memelihara kraftangan tradisional Thai.
Pada era 1960-an, baginda turut memainkan peranan diplomatik penting ketika mengiringi Raja Bhumibol dalam lawatan rasmi ke luar negara termasuk ke Amerika Syarikat dan Eropah.
Keanggunan dan pesona baginda menarik perhatian dunia apabila bertemu pemimpin serta ikon terkenal seperti Presiden Dwight D. Eisenhower dan bintang Hollywood, Elvis Presley.
Penampilan baginda juga sering menghiasi kulit depan majalah antarabangsa seperti LIFE dan TIME yang memperkenalkan citra diraja Thailand ke pentas global.

Selepas kemangkatan Raja Bhumibol pada tahun 2016, Sirikit menjalani kehidupan lebih tertutup sementara takhta Thailand kini diterajui oleh anakandanya, Raja Maha Vajiralongkorn atau Rama X.
Pemerintah Thailand telah mengarahkan semua bangunan kerajaan mengibarkan bendera separuh tiang sebagai tanda berkabung nasional.
Upacara penghormatan diraja dijangka berlangsung dalam beberapa hari akan datang di Istana Dusit, Bangkok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




