Belanjawan 2026: RM1 bilion diperuntuk perkasa Ikhtiar MADANI untuk rakyat – PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion tahun depan bagi memperhebat pelaksanaan Ikhtiar MADANI untuk Rakyat bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai inisiatif di bawah program berkenaan akan terus diperkukuh termasuk peluasan Sejati MADANI.
Beliau berkata, Sejati MADANI kini turut melibatkan golongan muda dalam usaha menambah pendapatan komuniti melalui program seperti mesin layan diri dan bidang pertanian berasaskan sistem pengairan baja.
Jelas beliau, pimpinan negara serta pegawai kanan kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara turut turun padang bagi menguruskan pelbagai permasalahan di peringkat akar umbi.
“Tahun hadapan, sasaran Kampung Angkat MADANI akan ditingkatkan kepada 500 kampung, manakala Sekolah Angkat MADANI pula ditambah kepada 1,500 sekolah, termasuk dengan penglibatan badan swasta,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut memaklumkan kejayaan Solar MADANI yang telah menyiapkan pemasangan 4,000 lampu solar di Sabah semalam dan akan diperluas ke kampung-kampung di seluruh negara bagi memastikan akses tenaga yang lebih menyeluruh kepada rakyat.
Selain itu, program Sejahtera MADANI yang melibatkan sumbangan sektor swasta dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar juga menunjukkan kejayaan memberangsangkan dengan dana terkumpul sebanyak RM120 juta setakat ini.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak, khususnya badan korporat yang turut bersama menjayakan Ikhtiar MADANI untuk Rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan turut mengumumkan insentif potongan cukai pendapatan kepada syarikat dan individu berpendapatan perniagaan yang menyumbang kepada program Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI dan Sejahtera MADANI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






