Bendera terbalik di kilang Texas tiada unsur sabotaj – ADUN Duyong
MELAKA – Kejadian bendera Malaysia yang kelihatan terbalik di sebuah kilang di kawasan perindustrian Texas Instrument, di sini, baru-baru ini, dikatakan bukan berpunca daripada sebarang unsur sabotaj atau khianat.
Perkara itu dijelaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Menurut beliau, berdasarkan rakaman tersebut, insiden itu berlaku apabila bendera yang dipasang tidak diikat dengan kemas, menyebabkan ia tercabut, tersangkut dan seterusnya terbalik akibat tiupan angin.
“Nampak sebenarnya bendera ini sudah terlorot. Mat dah tengok rakaman CCTV di kilang Texas Instrument Melaka. Tercabut, tersangkut dan terbalik. Nasib baik ada CCTV walaupun puas juga nak belek-belek,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.
@malaysiatribune ADUN Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem, mengesahkan hasil semakan rakaman CCTV di kilang Texas Instruments, Melaka mendapati insiden bendera Malaysia terbalik berlaku akibat tercabut, tersangkut dan akhirnya terbalik. Video: FB Mohd Noor Helmy #malaysiatribune #isubendera #terbalik #cctv #beritatiktok
Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut dan menunggu kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan kilang.
“Inilah kenyataan daripada YB kampung sahaja sebelum benda bukan-bukan berlaku. Kita tunggu siasatan melalui rakaman CCTV dulu,” tambah beliau.
Terdahulu, insiden tersebut tular di media sosial sejak semalam, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi netizen susulan pemasangan bendera secara terbalik yang timbul kebelakangan ini, menjelang sambutan Hari Kebangsaan hujung bulan ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












