Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya sumbang 100 kerusi kepada SMK Presint 14(1)
PUTRAJAYA – SMK Putrajaya Presint 14(1) menerima sumbangan 100 buah kerusi daripada Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya bagi membantu keperluan pelajar susulan insiden kebakaran yang berlaku di sekolah itu, baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban pihak sekolah selain memastikan proses pembelajaran pelajar berjalan lancar.
“Pada hari ini, pihak biro menyumbangkan 100 buah kerusi kepada sekolah ini untuk kegunaan murid-murid kerana terdapat sebahagian kerusi yang telah terbakar dalam kejadian tempoh hari,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyerahkan sumbangan kerusi tersebut di sekolah berkenaan, di sini.
Menurut beliau, kos keseluruhan sumbangan kerusi itu dianggarkan sekitar RM2,500.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek atas bantuan awal sebanyak RM100,000 yang disalurkan Kementerian Pendidikan (KPM) kepada sekolah berkenaan bagi proses pembaikan pasca kebakaran.
“Kita mengharapkan bantuan dapat disalurkan segera memandangkan pelajar sekolah ini bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dewan sekolah boleh digunakan semula sekiranya kerja pembaikan disegerakan,” katanya.
Selain sumbangan kerusi, Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya turut meneruskan tradisi tahunan menghantar kek sempena Hari Guru ke semua sekolah rendah dan menengah di Putrajaya sebagai simbol penghargaan kepada warga pendidik.

Menurut Hisamuddin, sebanyak 29 biji kek dihantar ke semua sekolah di Putrajaya sebagai simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan guru.
“Program ini telah dilaksanakan sejak saya mengambil alih biro ini empat tahun lalu.
“Setiap tahun kami akan menghantar kek ke sekolah-sekolah rendah dan menengah di Putrajaya sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru,” katanya.
Tambah beliau, pihak biro juga akan meneruskan beberapa program kecemerlangan akademik untuk pelajar SPM di Putrajaya termasuk Program Menggilap Bintang, Projek Kecemerlangan dan Hadiah Restu Ilmu.
BACA JUGA:
391 murid asnaf terima sumbangan dari Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya
“Program kecemerlangan ini melibatkan pelajar yang berpotensi memperoleh keputusan cemerlang termasuk sasaran straight A.
“Bagi pelajar yang agak lemah pula, kita akan bantu melalui Program Menggilap Bintang supaya mereka dapat meningkatkan prestasi akademik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan pendidikan kepada pelajar kurang berkemampuan di Putrajaya diteruskan setiap tahun meliputi bantuan persekolahan dan bantuan musim perayaan.
Sementara itu, Pengetua SMK Putrajaya Presint 14(1), Hassim Markom merakamkan penghargaan atas bantuan dan sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak susulan kebakaran yang berlaku di sekolah berkenaan.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pendidikan atas bantuan yang akan disalurkan bagi proses pembaikan.
“Sumbangan daripada Biro Pendidikan juga sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesukaran yang dihadapi pihak sekolah ketika ini,” katanya.
Beliau berharap proses pembaikan dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan supaya kemudahan sekolah dapat digunakan semula sepenuhnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








