BERITA SEMASAPOLITIK

BN masih belum putuskan calon PRK DUN Ayer Kuning

MASJID TANAH – Barisan Nasional (BN) masih belum memutuskan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Walau bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan mengenai senarai calon yang telah dicadangkan oleh BN Perak.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menyeri berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam masa terdekat.

“Saya akan mengadakan mesyuarat dengan Datuk Seri Saarani dan akan umumkan (nama calon) sebelum hari penerimaan calon,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan (MSKR) Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) di Masjid Ar-Rahman Kampung Rantau Panjang, di sini hari ini.

Mengulas mengenai calon dalam kalangan ahli Pemuda dan Wanita UMNO yang turut melobi untuk dicalonkan pada PRK berkenaan, Ahmad Zahid berkata, ia akan diputuskan dalam mesyuarat itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan hari pengundian bagi PRK Dewan DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun yang turut menyatakan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

Selain itu, tempoh berkempen pula ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu.

Bekas wakil rakyatnya, Datuk Azman Mahalan, memenangi kerusi berkenaan selama empat penggal berturut-turut sejak 1986 hingga 2004.

Penguasaan BN di kerusi itu diteruskan pula dari 2004 sehingga 2022 oleh Datuk Samsudin Abu Hassan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button