Bot Kelas Ibrahim jadi tumpuan sambutan Hari Kebangsaan ke-68
PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 hari ini mencipta sejarah apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) buat pertama kali mempamerkan Bot Kelas Ibrahim, simbol sokongan Yang di-Pertuan Agong terhadap keselamatan maritim negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot khas berukuran 12.6 meter (m) panjang dan 3.5m lebar itu dikurniakan Sultan Ibrahim dan dibina oleh Royal Boat Hangar Johor sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia pada 6 Mac lalu.

“Penyerahan ini mencerminkan iltizam Seri Paduka Baginda dalam memperkukuh kawalan perairan negara dan keyakinan penuh kepada agensi ini sebagai benteng keselamatan maritim negara.
“Bot ini diperbuat daripada aluminium marin berkualiti tinggi, dipacu tiga enjin Mercury OBM 300 kuasa kuda, mampu mencapai kelajuan maksimum 56 knot dengan kelajuan pelayaran optimum 40 knot, menjadikannya antara bot pemintas berkelajuan tinggi yang dimiliki Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan, bot tersebut dipinjamkan tanpa kos selama lima tahun dan ditempatkan di Maritim Negeri Johor bagi memperkukuh rondaan serta operasi penguatkuasaan di kawasan perairan strategik negeri itu.
Selain Bot Kelas Ibrahim, Maritim Malaysia turut memperkenalkan pasukan elit Rescue Swimmer atau Perenang Penyelamat yang berperanan melaksanakan misi menyelamat di laut dalam keadaan ekstrem.
Setakat ini, pasukan itu mempunyai kekuatan 11 anggota operasi dengan 12 lagi sedang menjalani latihan.
Mohd Rosli turut memaklumkan jenayah maritim seperti penyeludupan manusia, pencerobohan nelayan asing dan penyeludupan dadah kini menunjukkan trend penurunan hasil kerjasama erat Maritim Malaysia bersama Pasukan Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Sambutan Hari Kebangsaan turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Kontinjen Maritim Malaysia kali ini menampilkan 327 pegawai dan anggota dari pelbagai formasi termasuk Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), Penerbang Maritim Malaysia dan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), lengkap dengan enam jenis pakaian rasmi.
Pasukan Pancaragam Maritim Malaysia seramai 40 anggota turut mempersembahkan persembahan muzik, manakala beberapa aset lain seperti Bot PERKASA 36, Bot BENTENG 2, Air Boat 03, Mobile Surveillance Unit (MSU) dan helikopter Dauphin AS365 N3 turut diperagakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












