
Bot Vietnam curi hasil laut di perairan Tioman ditahan
KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang berjaya menahan sebuah bot nelayan asing di timur laut perairan Pulau Tioman pada Khamis lalu.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, pasukan udara yang sedang mengadakan rondaan di sekitar perairan Pahang telah mengesan sebuah bot nelayan yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Sebuah aset kapal telah diarahkan untuk memeriksa bot tersebut. Nelayan warga asing tersebut cuba melarikan diri dan enggan memberi kerjasama apabila dihampiri oleh pasukan Maritim Malaysia.
“Ini telah menyebabkan adegan kejar mengejar telah berlaku hampir 1 jam, kecekapan pegawai dan anggota maritim telah berjaya memintas seterusnya menahan warga asing tersebut yang kemudianya dibawa ke Jeti Pernepa Kuantan.
“Apabila mereka ditahan kami dapati enam kru termasuk tekong berumur dalam lingkungan 19 hingga 37 tahun yang berada di atas bot yang kesemuanya adalah lelaki warganegara Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta mengemukakan lesen bot yang meragukan selain tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara.
“Kesemua mereka ditahan termasuk bot beserta 250 kilogram hasil tangkapan laut disita untuk tindakan lanjut dan kesemua hasil rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi tekong dan RM600,000 bagi setiap kru sekiranya disabit salah,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti nelayan supaya terus menyalurkan maklumat serta menjadi mata dan telinga terhadap pasukan penguat kuasa bagi mengekang dan memerangi salah laku jenayah laut khususnya melibatkan pencerobohan bot-bot nelayan asing di perairan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












