
Bukan hilang, tapi sembunyikan diri daripada pemungut hutang
Sebelum ini didakwa hilang selepas COD telefon bimbit di Pulau Pinang sejak 3 Oktober
CYBERJAYA – Siasatan polis terhadap insiden seorang lelaki yang didakwa hilang selepas menjalankan urusan penjualan telefon bimbit dengan pelanggan yang tidak dikenali di Pulau Pinang sejak 3 Oktober lalu tiada sebarang unsur jenayah.
Sebaliknya, lelaki itu difahamkan menyembunyikan diri daripada pemungut hutang, lapor Sinar Harian, hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki terbabit telah tampil untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.
“Siasatan yang dijalankan mendapati mangsa sebenarnya melarikan serta menyembunyikan diri daripada pemungut hutang,” katanya dalam laporan tersebut.
Sehubungan itu, kata Hussein, tiada sebarang kertas siasatan dibuka berhubung kejadian tersebut.
Sabtu lalu, ibu saudara kepada lelaki itu menerusi Instagram memaklumkan, anak saudaranya yang didakwa hilang sebelum ini telah kembali dalam keadaan selamat.
Bagaimanapun wanita itu memaklumkan muka dan badan anak saudaranya itu dalam keadaan teruk selain masih trauma dengan apa yang berlaku.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki didakwa tidak pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur sejak 3 Oktober lalu selepas membuat urusan penjualan telefon dengan pelanggan yang tidak dikenalinya dan kali terakhir dikesan berada di Pulau Pinang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












