JENAYAH & MAHKAMAH

Cemburu disyaki motif wanita ditikam di Alor Setar

ALOR SETAR – Polis percaya unsur cemburu dan perasaan tidak berbalas menjadi motif awal kejadian seorang wanita ditikam di bahagian leher di Jalan Titi Gajah di sini pada malam semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 35 tahun dan suspek lelaki berusia 32 tahun sudah saling mengenali lebih setahun menerusi urusan pekerjaan dalam bidang hartanah.

Menurut beliau, mangsa merupakan ejen hartanah bebas dan ibu tunggal kepada dua anak, manakala suspek pula seorang duda yang memiliki syarikat sendiri.

“Setakat ini kita percaya ada unsur cemburu ataupun perasaan tidak berbalas, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita akan panggil rakan-rakan dan ahli keluarga termasuk suspek sendiri bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.

Beliau berkata, polis kini masih mengesan senjata dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

“Setakat ini kita percaya senjata tajam digunakan sama ada pisau, pemecah ais atau pemutar skru, bagaimanapun usaha mengesan senjata masih dijalankan,” katanya lagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.19 malam Ahad, mangsa dilaporkan mengalami satu kesan tikaman yang dipercayai menembusi bahagian leher dari kiri ke kanan.

Bagaimanapun, mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan awal.

Menurut Adzli, mangsa sempat membunyikan hon kenderaan sehingga menarik perhatian orang awam dan pekerja gerai berhampiran sebelum bantuan diberikan.

“Tindakan pantas orang awam serta doktor di sebuah klinik berhampiran berjaya membantu menghentikan pendarahan mangsa,” katanya lagi.

Susulan kejadian itu, polis menahan suspek kira-kira empat jam kemudian iaitu sekitar jam 1.50 pagi ketika bersembunyi di sebuah masjid di Taman Uda, kira-kira 6.2 kilometer dari lokasi kejadian.

Beliau berkata, suspek dipercayai melarikan diri dengan berjalan kaki sebelum berjaya dikesan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) polis.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes mencederakan teman wanita mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

“Bagaimanapun, kes terdahulu diberikan status dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas mangsa ketika itu dipercayai tidak mahu meneruskan prosiding mahkamah,” katanya lagi.

Suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button