BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Cemburu motif dua lelaki parah dipukul dalam pergaduhan di Sri Petaling

KUALA LUMPUR – Dua lelaki cedera parah selepas diserang sekumpulan individu menggunakan objek tajam dan batang besi di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Radin Tengah, Sri Petaling, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 3.40 pagi.

Mangsa yang merupakan warganegara tempatan mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan sebelum suspek melarikan diri menggunakan kenderaan yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian.

“Mangsa pertama cedera di tangan kanan, belakang badan dan kaki kanan, manakala seorang lagi cedera di kepala akibat dipukul dengan objek tajam. Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada cemburu dan ketidakpuasan hati terhadap teman wanita yang kini bersama lelaki lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chang Hook berkata, kedua-dua mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Ampang.

Beliau menambah, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields menahan lima lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 20 tahun, termasuk suspek utama, dan merampas batang besi yang digunakan dalam kejadian.

Semakan rekod mendapati seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes kekerasan di bawah Seksyen 323 dan 324 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang mengesan suspek lain yang masih bebas bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan senjata serta memiliki senjata maut dalam rusuhan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button