Chegurbard, Nurpais tidak pernah tahu pasal saman Farhash – peguam
KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan pencipta kandungan, Nurpais Ismail mendakwa tidak mengetahui kewujudan saman fitnah yang difailkan oleh ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador, sehingga dimaklumkan mengenai keputusan mahkamah yang mengarahkan mereka membayar ganti rugi berjumlah RM550,000.
Peguam mereka, Rafique Rashid Ali berkata, kedua-dua anak guamnya hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas membaca laporan media berhubung keputusan mahkamah tersebut, semalam.
Menurut beliau, Badrul dan Nurpais hanya menyedari mengenai saman itu selepas menerima pelbagai mesej serta perkongsian laporan media daripada kenalan dan menegaskan tidak pernah menerima sebarang dokumen saman atau notis berkaitan.
“Kami telah menasihati mereka berhubung hak-hak yang ada dan kedua-duanya akan mengambil tindakan lanjut berkaitan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Apandi, memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat Chegubard dalam sebuah audio siar tahun lalu telah menggambarkan Farhash sebagai individu yang korup, manipulatif serta tidak layak memegang jawatan profesional dan politik.
Arziah menambah kenyataan itu turut menjejaskan legasi politik Farhash dengan memberi gambaran beliau hanyalah seorang manipulator yang memanfaatkan kedudukannya untuk kepentingan diri sendiri.
Beliau berkata tuduhan itu secara individu atau kolektif adalah “serius, merosakkan dan boleh diambil tindakan undang-undang,” sehingga menyebabkan Farhash menjadi sasaran kebencian, ejekan dan penghinaan orang ramai.
Mahkamah turut mendapati Chegubard dan Nurpais bertindak dengan niat jahat apabila kenyataan itu disampaikan seolah-olah fakta, manakala Nurpais pula menambah impak melalui penggunaan tajuk sensasi dan eksploitasi komersial, meskipun telah menerima notis pada Mei tahun lalu supaya video berkenaan dipadam.
Difahamkan, kedua-dua defendan tidak hadir ke mahkamah semasa prosiding berlangsung.
Dalam samannya, Farhash mendakwa Badrul dan Nurpais telah menerbitkan pelbagai kenyataan, video serta hantaran di platform Facebook, TikTok dan YouTube pada Mei tahun lalu yang bersifat palsu, berunsur fitnah dan berniat jahat.
Beliau turut mendakwa penerbitan tersebut menuduhnya terlibat dalam perbuatan rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme, salah guna pengaruh politik serta urusan tidak wajar melibatkan kontrak kerajaan dan tokoh politik.
Mahkamah memerintahkan ganti rugi am sebanyak RM300,000, ganti rugi bersifat teruk RM150,000, ganti rugi teladan RM100,000 terhadap kedua-dua defendan, serta kos guaman RM40,000.
Dalam samannya, Farhash mendakwa Badrul dan Nurpais telah menerbitkan pelbagai kenyataan, video dan posting di Facebook, TikTok dan YouTube pada Mei tahun lalu yang bersifat palsu, fitnah dan berniat jahat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












