BISNES & EKONOMI

Cita rasa asli masakan Malaysia di Mekah, Madinah

MADINAH – Berdepan dengan isu makanan yang kurang menyelerakan ketika menunaikan haji atau umrah bukan perkara baharu bagi para jemaah, terutama bagi mereka yang berasal dari Malaysia.

Terpaksa makan makanan yang tidak memenuhi selera orang Malaysia adalah cabaran yang terpaksa dilalui sejak sekian lama.

Kini, jemaah haji dan umrah Malaysia boleh menarik nafas lega selepas pembukaan dua kedai makan cita rasa Malaysia di Arab Saudi iaitu di Mekah dan Madinah oleh Pengarah Urusan Mursyid Alharamain, Muhammad Mursyid Abdul Hassan.

Pengarah Urusan Mursyid Alharamain, Muhammad Mursyid Abdul Hassan.

Selaku anak Malaysia pertama yang mempunyai restoran masakan Melayu yang bersistemik di tanah suci, Muhammad Mursyid telah berjaya membuka dua buah restoran iaitu Rasa Malaysia Mekah dan Rasa Malaysia Madinah.

Menurut Muhammad Mursyid, idea untuk membuka restoran bertemakan cita rasa Malaysia tercetus selepas menerima rungutan daripada para jemaah yang tidak menyukai masakan dari negara tersebut.

Kata Muhammad Mursyid, beliau yang pernah menetap selama empat tahun di Madinah dan membawa jemaah, menumpukan kepada masakan panas Nasi Goreng, Nasi Lemak serta lauk-pauk seperti ayam masak merah Dan sambal udang.

Jelasnya, selain daripada rakyat Malaysia, ada juga pelanggan yang datang dari negara lain seperti Indonesia, Africa dan malah orang Arab sendiri sering hadir ke restorannya bagi merasai masakan seperti gulai dan bermacam-macam lagi hidangan Malaysia.

Lebih istimewa, makanan yang dihidangkan juga dimasak oleh chef berbangsa Melayu bagi memastikan rasa asli masakan Melayu itu terjaga dan menepati kehendak pelanggan.

“Saya buka kedai makan ini kerana satu benda yang kita tidak boleh atasi di tanah suci adalah makan. Bila saya bawa jemaah ramai merungut makan tidak sedap dan alhamdulillah kita sudah ada dua kedai di Mekah dan Madinah.

“Sebelum saya membuka kedai makan, saya meniaga kurma berbekalkan pengalaman, saya dengan beraninya membuka kedai makan kerana saya melihat tanah suci sentiasa ada jemaah.

“Herba pun kita bawa dari Malaysia. Makan tengah hari, ayam masak merah, ayam masak lemak. Makan pagi lain, makan malam lain, jadi menu kami sentiasa berubah,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media Jumaat lalu.

Untuk rekod, Restoran Rasa Malaysia Mekah telah beroperasi sejak Julai tahun lalu, manakala Restoran Rasa Malaysia Madinah pula telah dibuka pada Mac tahun ini.

Ditanya mengenai sasaran bagi jualaan semasa musim haji tahun ini, Muhammad Mursyid berkata, beliau menyasarkan 5,000 pek makanan terjual bagi sarapan pagi, minum petang dan makan malam.

“Jemaah haji boleh mendapatkan makanan di gerai kami serendah 15 Riyal (RM18.15 sen). Kalau 15 Riyal, boleh dapat nasi lemak, bihun goreng dan nasi goreng. Sekiranya mereka mahu tambah macam ayam, petai, sambal sotong harga dia naik sikit tetapi masih lagi berpatutan.

“Kita mahu fokus kepada pesanan. Contoh hari ini dia pesan 100 pek makanan untuk makan esok, jadi kita sudah sediakan siap-siap untuk hotel itu dan jemaah tinggal datang ambil sama ada di lobi atau ke bilik hotel itu kita boleh uruskan,” katanya lagi.

Kedai tersebut terletak berhampiran Masjid Al Tawheed di Mekah serta di Taiba Center, Madinah dan

Sebarang tempahan boleh tekan link https://RasaMalaysiaMadinahMekah.wassap.my/ .

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button