BERITA SEMASA

Cuaca panas : 56 kes termasuk dua kematian sejak Januari

PUTRAJAYA – Sebanyak 56 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga kini, termasuk dua kematian akibat strok haba.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, kes kematian itu melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang tertinggal dalam kenderaan dan seorang lelaki berusia 42 tahun yang menyertai aktiviti maraton di Pulau Pinang.

Menurut kementerian itu, kedua-dua insiden berlaku ketika keadaan cuaca berada pada Tahap Amaran 1, namun faktor utama dikenal pasti ialah pendedahan kepada haba melampau dalam persekitaran tertutup serta aktiviti fizikal berpanjangan.

“Keadaan tersebut boleh menyebabkan dehidrasi teruk dan kegagalan tubuh mengawal suhu badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada keseluruhan kes, sebanyak 47 kes melibatkan kelesuan haba, diikuti empat kes strok haba exertional, empat kes strok haba dan satu kes kekejangan haba.

KKM memaklumkan, analisis mendapati 58 peratus kes berpunca daripada aktiviti fizikal ketika cuaca panas, termasuk sukan dan latihan seperti merentas desa, maraton serta latihan intensif oleh pasukan keselamatan.

Sehubungan itu, orang ramai disaran mengehadkan aktiviti lasak di bawah cuaca panas serta mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada suhu tinggi.

Selain itu, individu yang terpaksa bekerja di luar digalakkan mengambil rehat di tempat teduh, memperbanyakkan minum air kosong serta menggunakan pelindung diri seperti topi, payung dan pakaian berwarna cerah.

“Segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti pening, mual, kekejangan otot atau keletihan melampau,” katanya lagi.

KKM turut menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pusat jagaan supaya merancang aktiviti luar dengan lebih teliti bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan haba.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button