BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dakwaan SPRM salahguna kuasa oleh Lawyers for Liberty tindakan mengelirukan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa dakwaan Lawyers for Liberty (LFL) kononnya suruhanjaya itu menyalahgunakan kuasa dalam memanggil peguam kepada Albert Tei adalah tidak berasas serta berpotensi mengelirukan masyarakat.

Menurut SPRM, tuduhan LFL bahawa tindakan memanggil peguam bernama Mahajoth Singh untuk membantu siasatan merupakan intimidasi dan melanggar keistimewaan komunikasi peguam-anak guam adalah tafsiran salah terhadap peruntukan undang-undang yang jelas.

“Notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009 memberi kuasa kepada SPRM untuk menghendaki mana-mana orang hadir serta mengemukakan dokumen atau rakaman yang diperlukan bagi membantu siasatan.

“Tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana pengamal undang-undang, dan dakwaan sebaliknya adalah tidak berasas dari sudut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SPRM menjelaskan bahawa di bawah Seksyen 30 Akta SPRM 2009, suruhanjaya mempunyai kuasa menghendaki mana-mana individu hadir dan mengemukakan dokumen atau rakaman untuk tujuan siasatan. Kuasa ini tidak mengecualikan peguam atau mana-mana pengamal undang-undang.

“Notis di bawah Seksyen 30(1) terpakai kepada semua. Dakwaan bahawa peguam mempunyai kekebalan undang-undang dalam konteks siasatan adalah tidak tepat,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut menjelaskan sebab Mahajoth dipanggil: beliau memegang bahan bukti (exhibits) berkaitan siasatan terhadap Albert Tei. Oleh itu, beliau mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengemukakan bahan tersebut apabila diarahkan di bawah Seksyen 30(3).

“Keingkaran berbuat demikian boleh dianggap sebagai menghalang penjawat awam menjalankan siasatan iaitu satu kesalahan di sisi undang-undang.” katanya.

SPRM menambah bahawa keistimewaan komunikasi peguam-anak guam hanya melindungi nasihat undang-undang yang sulit, bukannya dokumen atau bahan yang relevan kepada siasatan, lebih-lebih lagi jika peguam berperanan sebagai saksi material.

“Maka, dakwaan intimidasi oleh LFL adalah tidak munasabah. Notis itu merupakan proses statutori standard dan sama sekali tidak menjejaskan fungsi peguam dalam mewakili anak guam.”

Mengenai dakwaan berhubung sekatan sementara akses peguam kepada tahanan, SPRM menegaskan bahawa langkah itu dibenarkan oleh undang-undang, khususnya Seksyen 28(A)(8) Kanun Tatacara Jenayah, bagi memastikan integriti siasatan tidak terjejas.

“Ini adalah amalan penyiasatan biasa dalam kes sensitif. Ia bukan penyalahgunaan kuasa, tetapi keperluan operasi untuk melindungi bukti.”

SPRM menutup kenyataan dengan menegaskan komitmennya untuk terus menjalankan tugas secara profesional, berkecuali dan berlandaskan undang-undang, sambil meminta semua pihak berhenti mempolitikan prosedur sah yang telah ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button