Dakwaan tujuh ahli Parlimen kosongkan kerusi hanya khabar angin
SHAH ALAM – Dakwaan tujuh orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan mengosongkan kerusi masing-masing hanyalah khabar angin.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua ahli Parlimen tidak boleh mengambil tindakan sesuka hati kerana terikat dengan akur janji yang telah ditandatangani sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Itu khabar angin dan kita akan lihat bahawa yang paling penting kita tunggu sampai akhir penggal.
“Kalau mahu melakukan tindakan-tindakan politik yang sebaliknya kita harus lihat bahawa mandat dan watikah telah diberikan kepada mereka untuk mewakili parti dan bukan untuk diri sendiri.
“Ini telah pun ditandatangani mereka di dalam akur janji dan juga dalam dokumen-dokumen yang diikrarkan di depan saya,” kata Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutupan Madani Ride PDRM & ISBC Sempena Hari Peringatan Hari Polis Ke-216 dan Bulan Kemerdekaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Bagaimanapun Ahmad Zahid menasihatkan ahli-ahli Parlimen yang berhasrat untuk meninggalkan kerusi supaya mempertimbangkan perkara itu sehingga pilihan raya seterusnya.
Semalam Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dalam rakaman video di Tik Tok mendakwa tujuh ahli Parlimen BN bakal meninggalkan parti itu.
Antaranya kerusi yang disebutkan dalam video Pengarah Komunikasi BN itu adalah empat kerusi Parlimen di Johor, masing-masing satu kerusi di Pahang, Sabah dan utara tanah air.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












