DAP, Yeo Bee Yin dikecam isu titah diraja, disifatkan biadab dan tidak beradab
KUALA LUMPUR – UMNO mengecam keras tindakan Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin, yang didakwa memuat naik hantaran berunsur sindiran berhubung keputusan mahkamah berkaitan Titah Diraja, sekali gus disifatkan sebagai biadab dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abd Aziz berkata, perbuatan itu amat dikesali kerana menyentuh kuasa pengampunan Raja-Raja Melayu, iaitu satu-satunya kuasa prerogatif yang termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, DAP sebelum ini menggunakan Titah Yang di-Pertuan Agong sebagai sandaran ketika pembentukan kerajaan, namun apabila keputusan mahkamah tidak memihak, titah yang sama diperkecilkan dan diraikan seolah-olah tiada nilai kenegaraan.
“Ini satu tindakan yang sangat tidak beradab. Isu sebesar ini bukan bahan sindiran atau ‘celebration’, sebaliknya perkara serius yang menyentuh kedaulatan Perlembagaan serta institusi Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan mahkamah tersebut merupakan yang pertama dalam sejarah apabila kuasa pengampunan Raja-Raja Melayu dipersoalkan secara terbuka dan diraikan oleh wakil rakyat, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
Johan berkata, tindakan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu mencerminkan kegagalan DAP untuk menghormati asas Raja Berperlembagaan dan menunjukkan sikap angkuh dalam menangani isu-isu kenegaraan.
“Apabila seorang pemimpin utama DAP sendiri mempamerkan sikap sebegini, ia jelas bukan sekadar kesilapan individu, tetapi menggambarkan budaya politik parti yang semakin hilang adab, sensitiviti dan rasa hormat terhadap asas kenegaraan negara,” katanya lagi.
Tambah beliau, semua pemimpin politik tanpa mengira parti seharusnya lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam mengulas keputusan mahkamah serta menghormati institusi Raja-Raja Melayu demi menjaga keharmonian dan kestabilan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












