POLITIK

DAPSY desak PH mansuh AUKU, bukan sekadar wacana

KUALA LUMPUR – Democratic Action Party Socialist Youth (DAPSY) menegaskan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu diterjemahkan melalui tindakan konkrit dan bukan sekadar perbincangan berterusan tanpa hala tuju jelas.

Pengarah Biro Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan, Koh Ling Xian berkata, walaupun pihaknya bersetuju reformasi pendidikan tinggi perlu dirancang secara teliti, kerajaan khususnya kepimpinan Pakatan Harapan (PH) mesti menunjukkan pendirian tegas berhubung isu tersebut.

Menurut Ling Xian, pemansuhan AUKU bukan perkara baharu malah merupakan antara komitmen yang pernah dinyatakan PH sebelum Pilihan Raya Umum.

“Isu ini sudah lama dibahaskan. Malah, Adam Adli sendiri pernah tampil sebagai aktivis mahasiswa yang memperjuangkan pemansuhan AUKU.

“Ramai pemimpin PH juga pernah berdepan sekatan di bawah akta ini. Justeru, iltizam politik perlu diterjemahkan melalui tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ling Xian berkata demikian sebagai mengulas pandangan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim yang memaklumkan isu pemansuhan atau pengekalan AUKU perlu diteliti secara menyeluruh dan disusuli reformasi substantif.

Tambah beliau, usaha ke arah pemansuhan AUKU mempunyai asas kukuh sejak 2018 apabila kerajaan PH ketika itu menubuhkan Jawatankuasa Pemansuhan AUKU bagi meneliti cadangan secara sistematik.

Katanya, jawatankuasa berkenaan telah melibatkan pelbagai pihak termasuk pentadbiran universiti, ahli akademik, kakitangan kerajaan dan wakil mahasiswa serta menghasilkan laporan serta kerangka cadangan undang-undang baharu.

“Pemansuhan AUKU tidak bermaksud universiti dibiarkan tanpa kawal selia. Sebaliknya, ia perlu diganti dengan Akta Pendidikan Tinggi baharu yang lebih progresif dan komprehensif,” katanya lagi.

Sehubungan itu, DAPSY menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi mengaktifkan semula jawatankuasa berkenaan serta mempercepat proses penggubalan undang-undang baharu.

Menurutnya, reformasi pendidikan tinggi dan pemansuhan AUKU tidak wajar dilihat sebagai pilihan yang saling menafikan, sebaliknya perlu digerakkan secara seiring demi memastikan institusi pengajian tinggi lebih bebas, matang dan berdaya saing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button