DBKL diperintah bayar RM824,180 kepada ibu bapa mangsa pokok tumbang
KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur membayar ganti rugi berjumlah RM824,180 kepada sepasang ibu bapa selepas anak lelaki mereka maut dihempap pokok tumbang, tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Effandi Nazila Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman dikemukakan Gooi Ling Sim, 61, dan Phun Kok Hoi, 63, selaku tanggungan kepada mendiang Phun Mun Lap, 30.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 9 Mac lalu, mahkamah mendapati pokok yang tumbang itu berada di bawah selenggaraan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sekali gus meletakkan tanggungjawab jelas kepada pihak berkuasa tempatan berkenaan.
Menurut beliau, kemalangan tersebut tidak akan berlaku sekiranya pemantauan dan penyelenggaraan dilakukan dengan sewajarnya.
“Defendan mengakui pokok itu terlalu besar dan tidak diselenggara seperti sepatutnya, selain gagal mengemukakan sebarang bukti dokumentasi berkaitan kerja pemantauan atau penyelenggaraan.
“Berdasarkan prinsip res ipsa loquitur, liabiliti adalah terletak sepenuhnya ke atas pihak defendan,” memetik BH online.
Dalam kejadian pada 22 Mac 2023, mangsa yang bekerja sebagai pemandu kren sedang menunggang motosikal ke tempat kerja di Jalan Kuching sebelum dihempap pokok tumbang dari pembahagi jalan berhampiran pintu gerbang DBKL dekat Pasar Harian Selayang.
Mangsa mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Selayang sebelum disahkan meninggal dunia pada 24 Mac 2023.
Effandi berkata, mahkamah mendapati DBKL gagal melaksanakan kewajipan statutori di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, termasuk aspek penyelenggaraan, pemeriksaan serta kawalan keselamatan pokok di kawasan awam.
“Saksi defendan sendiri mengakui DBKL mempunyai tanggungjawab untuk menyelenggara dan memantau pokok-pokok yang ditanam,” katanya lagi.
Mahkamah memerintahkan bayaran ganti rugi meliputi kos pengebumian sebanyak RM26,180, kehilangan tanggungan RM768,000 serta ganti rugi kedukacitaan berjumlah RM30,000.
Perbicaraan kes berlangsung selama dua hari pada September 2025 dengan empat saksi dipanggil memberi keterangan, manakala pihak defendan difahamkan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi.
Dalam pernyataan tuntutan, ibu bapa mangsa mendakwa DBKL cuai secara menyeluruh termasuk gagal memastikan pokok di pembahagi jalan berada dalam keadaan selamat, tidak menjalankan kerja penyelenggaraan berkala serta tidak mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












