DBKL kompaun tiga syarikat kontraktor korek jalan
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan tujuh notis kompaun terhadap tiga kontraktor pembinaan selepas didapati melakukan pelbagai pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam Operasi Korekan Jalan Awam Siri 7/2026 di sekitar Kuala Lumpur.
Operasi bersepadu yang dijalankan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia itu berlangsung bermula pukul 10 malam, Jumaat hingga 3.30 pagi Sabtu lalu melibatkan kawasan Taman Maluri, Jalan Kuching, Jalan Kepong, Jalan Bangsar dan Jalan Imbi.
DBKL dalam kenyataannya berkata, pemantauan serta pemeriksaan dijalankan bagi meneliti kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan melibatkan pemasangan paip, penurapan jalan, pembaikan saliran longkang serta kerja utiliti seperti bekalan air, elektrik dan talian telekomunikasi.
“Hasil pemeriksaan di lima lokasi mendapati tiga kontraktor gagal mematuhi syarat serta kelulusan kerja di tapak operasi.
“Antara kesalahan dikesan ialah gagal meletakkan lampu amaran, tiada pengawal lalu lintas, menyebabkan kerosakan pada laluan pejalan kaki, menutup jalan tanpa kebenaran, menggunakan lori tanpa permit mengangkut bahan binaan serta menyebabkan laluan awam menjadi kotor,” katanya.

Susulan itu, tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997 membabitkan dua notis kompaun, manakala lima lagi notis dikeluarkan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Dalam operasi sama, CIDB turut mengeluarkan dua notis arahan hadir kepada kontraktor terlibat bagi mengemukakan maklumat berhubung kerja-kerja pembinaan yang didapati dijalankan tanpa kebenaran serta kelulusan.
DBKL memaklumkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua kerja korekan serta penyelenggaraan utiliti di jalan awam mematuhi peraturan yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












