BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

DBKL tidak kompromi, pegawai terlibat rasuah akan dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan akan mengambil tindakan dalaman terhadap pegawainya yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini berhubung kes rasuah.

Dalam satu kenyataan, DBKL memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai pendakwaan seorang pegawai kanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menegaskan komitmen penuh terhadap prinsip integriti serta tadbir urus yang baik.

“DBKL tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku dan kekal komited menegakkan integriti, ketelusan serta tadbir urus baik dalam semua urusan pentadbiran dan perkhidmatan kepada warga Kuala Lumpur,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Mohamad Hamim @ Mohamed Kamaruddin, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM50,000 daripada seorang individu yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya di agensi berkenaan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.

Mengikut pertuduhan, beliau sebagai penjawat awam didakwa menerima untuk dirinya suatu barang berharga tanpa balasan, iaitu wang tunai RM50,000 daripada individu berkenaan di No. 15, Jalan Changkat Tunku, Bukit Tunku, pada 10 Januari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

DBKL dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa sebarang tindakan salah laku akan diambil serius selaras dengan usaha memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam bandar raya ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button