[DIKEMASKINI] Malaysia kecam Israel, tuntut keselamatan dan pembebasan segera tahanan GSF 2.0
KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang memintas flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza serta menahan lebih 100 aktivis termasuk 18 rakyat Malaysia yang menyertai misi aman tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan Israel itu merupakan pencabulan jelas terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa selain membuktikan sikap agresif rejim berkenaan dalam menyekat bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Menurut beliau, Malaysia turut menuntut jaminan keselamatan ke atas semua aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang ditahan serta mendesak supaya mereka dibebaskan segera.
“Rejim biadab Zionis Israel telah bertindak memintas flotila kemanusiaan Gaza dan menahan lebih 100 aktivis termasuk 18 aktivis dari Malaysia yang terlibat dalam misi aman membela kemanusiaan sejagat.
“Tindakan kurang ajar rejim jahat ini terhadap misi bantuan kemanusiaan bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
“Ini memperlihatkan kerakusan rejim Zionis dalam menutup ruang bantuan, menyekat suara kemanusiaan dan menindas sesiapa sahaja yang bangkit mempertahan serta membela rakyat Palestin,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, dunia tidak boleh terus berdiam diri terhadap penindasan berterusan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin dan pihak yang tampil menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Beliau menegaskan, segala bentuk penindasan terhadap rakyat Palestin serta usaha menghalang bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera, selain Israel perlu dipertanggungjawabkan atas tindakannya.
“Malaysia menuntut jaminan keselamatan kesemua aktivis yang ditahan serta pembebasan segera mereka,” katanya.
Terdahulu, Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Malaysia mengesahkan 18 kapal GSF 2.0 dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa hari ini, termasuk kapal yang dinaiki 18 rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal tersebut mula dihampiri secara agresif oleh tentera rejim Zionis dalam insiden yang berlaku antara pukul 3 petang hingga 8 malam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












