Diskaun 50 peratus saman AwAS kekal hingga hujung tahun
KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk mengekalkan kadar diskaun saman trafik sebanyak 50 peratus yang ditawarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk bagi kesalahan yang dikesan melalui Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS).
Menterinya, Anthony Loke berkata, diskaun bagi tempoh bermula 1 November hingga 31 Disember itu dibuat bagi memastikan keadilan kepada individu yang telah melunaskan saman lebih awal sejak tawaran pengurangan 50 peratus dilaksanakan pada awal tahun ini.
“Sejak awal tahun, JPJ sudah pun menawarkan pengurangan 50 peratus bagi saman AWAS dan saman di bawah Seksyen 22.
“Jadi kalau sekarang kita memberikan diskaun 70 peratus, ia tidak adil kepada mereka yang sudah bayar lebih awal. Sebab itu kita kekalkan kadar 50 peratus hingga hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengenai penyelarasan kadar kompaun JPJ dan PDRM di Pusat Media Parlimen, di sini, hari ini.
Pada 2 Januari lalu, JPJ menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan membabitkan notis saman JPJ iaitu AwAS (Saman 53A); Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115) serta di bawah Akta Pengangkutan Jalan, (APJ) yang boleh dikompaun.
Mengulas lanjut, Loke berkata, setakat 21 Oktober lalu, JPJ telah berjaya menyelesaikan sebanyak 1.4 juta saman AWAS dengan jumlah kutipan RM425 juta.
“Jumlah ini menunjukkan sambutan yang baik daripada orang ramai untuk menyelesaikan saman tertunggak, walau bgaimanapun tawaran diskaun membuatkan ramai orang menangguhkan bayaran berikutan mahu melunaskan ketika ada tawaran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











