BERITA SEMASA

Doktor bayar kos rawatan pesakit kanser bernilai RM23,000

IPOH – Tindakan mulia seorang pakar onkologi perubatan dari Pantai Hospital Ipoh yang menanggung sendiri kos rawatan imunoterapi berjumlah RM23,000 untuk pesakitnya mendapat perhatian ramai selepas dikongsikan di media sosial.

Pengguna Facebook, Nassry Mardee Ismail yang kini sedang berjuang melawan kanser, menceritakan pengalamannya dirawat oleh Dr. Mohd Syahizul Nuhairy Mohd Sharial yang disifatkannya sebagai insan berhati emas dan “diutus Allah dalam perjuangan hidupnya.”

Dr Syahizul
Gambar Dr. Syahizul yang dimuat naik Nassry Mardee dalam hantaran tersebut.

Menurut Nassry, tiga minggu lalu beliau hampir berputus asa apabila tidak mampu menanggung kos rawatan imunoterapi yang tinggi. Namun, tanpa disangka, rawatan tersebut ditawarkan kepadanya secara percuma.

“Saya sangka hospital yang menaja, rupanya bukan. Yang membayarnya ialah Dr. Syahizul sendiri. RM23,000 bukan jumlah kecil untuk seorang pesakit yang baru dikenalinya,” katanya dalam hantaran tersebut.

Beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap keprihatinan doktor berkenaan yang bukan sahaja mengambil berat terhadap aspek perubatan, malah memahami keadaan pesakit dari sudut emosi dan fizikal.

“Ketika saya mengadu sukar bernafas, beliau tidak menolak walaupun hasil imbasan dan bacaan oksigen kelihatan normal.

“Beliau terus mencari punca tanpa jemu hingga akhirnya melalui bronkoskopi, beliau menemui masalah sebenar iaitu empat daripada lima saluran pernafasan utama saya tertutup sepenuhnya,” katanya lagi.

Nassry atau lebih dikenali sebagai Cikgu E merupakan bekas atlet turut menzahirkan penghargaan terhadap empati dan keikhlasan doktor tersebut yang memahami latar belakang fizikal pesakitnya.

“Beliau berkata, kalau keadaan ini berlaku pada orang lain, mungkin sudah tenat. Tapi saya masih bertahan sebab dulu saya fit. Kata-kata itu membuatkan saya rasa dihargai, bahawa kesakitan ini benar, bukan rekaan,” ujarnya.

Menutup perkongsian itu, Nassry berdoa agar segala kebaikan doktor berkenaan dibalas dengan rahmat dan keberkatan yang berpanjangan.

“Tidak semua wira memakai jubah atau memegang pedang. Ada yang hanya memakai stetoskop dan menyembuhkan dengan keikhlasan yang tidak dapat dibayar dengan wang ringgit,” tulisnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button