Dr Maimunah akan sertai GLC gergasi, tempoh sebagai Datuk Bandar dipendekkan
KUALA LUMPUR – Tempoh pelantikan Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dipendekkan setahun lebih awal bagi membolehkannya menyertai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) gergasi nasional.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, keputusan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan tempoh perkhidmatan Dr Maimunah dipendekkan daripada 14 Ogos 2026 kepada 14 November 2025.
Beliau berkata, langkah itu dibuat bagi memberi ruang kepada Dr Maimunah untuk menyalurkan kepakaran dan pengalaman luasnya dalam GLC berkenaan yang diberi tanggungjawab membangunkan mercu tanda baharu di ibu negara.
“Pemendekan tempoh ini mengambil kira keperluan perkhidmatan serta kepakaran beliau dalam bidang perancangan bandar berteraskan pembangunan lestari, khususnya ketika menerajui UN-Habitat sebagai Pengerusi Eksekutif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shamsul Azri, sepanjang menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Maimunah berjaya memperkukuh tadbir urus dan integriti organisasi selain meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan bandar raya.
Katanya, kerajaan yakin penempatan baharu Dr Maimunah dalam GLC berkenaan akan memastikan pelaksanaan projek mercu tanda Kuala Lumpur dapat direalisasikan dengan sempurna selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa dan sumbangan beliau dalam membawa DBKL ke tahap membanggakan.
“Tahniah juga diucapkan atas pelantikan baharu ini. Diharapkan beliau terus mengekalkan kecemerlangan berteraskan nilai dan prinsip MADANI demi manfaat rakyat serta negara,” katanya.
Shamsul Azri turut memaklumkan bahawa DBKL mencatat lebihan semasa RM27.6 juta pada 2024 berbanding defisit RM75.3 juta pada 2023 dan RM283 juta pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak 137 peratus.
Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan kepimpinan transformasi Dr Maimunah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Selain itu, Dr Maimunah turut memperkukuh kerjasama antarabangsa melalui inisiatif bersama UNICEF bagi Program Cash Plus dan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak, di samping menganjurkan beberapa forum utama ASEAN termasuk Forum Pembandaran Mampan ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) 2025.
Antara inisiatif lain yang diperkenalkan di bawah kepimpinan beliau termasuk Inisiatif Sifar Sisa, Lingkaran Hijau dan Program Daya Tahan Iklim Bandar (UCRP) bagi memperkukuh komitmen menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar karbon sifar dan berdaya tahan iklim.
Kecemerlangan beliau turut diiktiraf melalui pelbagai anugerah berprestij termasuk Anugerah Kepimpinan PCRA 2024, Nona Superwoman Award 2024, Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik (Bandaraya), Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2025, serta Women of the Decade Award sempena Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025.
Beliau turut menerima Anugerah Kepemimpinan 2025 daripada Fira de Barcelona di Ekspo Bandar Pintar Dunia 2025.
Dr Maimunah, 64, dilantik sebagai Datuk Bandar wanita pertama Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2024 menggantikan Datuk Kamarulzaman Salleh yang bersara wajib.
Sebelum itu, beliau berkhidmat selama enam tahun sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat di Nairobi, menjadikannya wanita Asia pertama memegang jawatan tersebut.
Beliau juga pernah mengetuai Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai serta pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












