BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dua pengarah syarikat jual walkie-talkie tidak diperakui didenda MCMC

CYBERJAYA – Dua orang pengarah syarikat didenda atas kesalahan memiliki dan dengan tujuan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui iaitu sejenis walkie-talkie jenama Baofeng dan alat penyambungan tanpa wayar pelbagai jenama.

Masing-masing didenda sebanyak RM5,500.00 dan RM2,500.00 oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Amir Shah Amir Hassan.

Keputusan itu dibuat hakim selepas kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) tersebut mengaku bersalah bagi pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“OKS pertama seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun didakwa atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual lima unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S dan enam unit Wireless Adapter pelbagai jenama di Lintas Plaza, Kota Kinabalu pada 11 Oktober 2023.

“Manakala OKS kedua pula seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun didakwa atas satu pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual dua unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S di Sinsuran Complex, 88000 Kota Kinabalu pada tarikh yang sama,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Bagi kesemua pertuduhan itu, OKS boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

MCMC berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti menjual, memiliki dan menggunakan apa-apa kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai pemerakuan.

“Hal ini bagi mengelakkan kesan buruk penggunaannya yang boleh mendatangkan impak negatif kepada pengguna, kelengkapan komunikasi tidak diperakui boleh mengakibatkan gangguan kepada rangkaian telekomunikasi, kualiti perkhidmatan dan akhirnya mengundang masalah kepada pengguna lain,” katanya..

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan aplikasi ‘MCMC Check Your Label’ untuk menyemak status pemerakuan sesebuah kelengkapan komunikasi sebelum membeli dan menggunakannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button