Ejen haram tawaran perkhidmatan Imigresen dicekup di Putrajaya
PUTRAJAYA – Seorang ejen haram yang menawarkan perkhidmatan berkaitan imigresen kepada warga asing berjaya diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Khas yang dijalankan di sini, Selasa lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula pada pukul 4.10 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan serta Operasi Khas dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Hasil risikan selama dua minggu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan dan rampasan lapan pasport India serta sebuah telefon bimbit.
“Sebuah kenderaan jenis Honda CR-V turut disita kerana dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zakaria, siasatan awal mendapati suspek menawarkan perkhidmatan imigresen palsu berkaitan Pas Khas dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) dengan menyasarkan warga India di sekitar Lembah Klang.
Suspek tidak mempunyai sebarang kebenaran daripada JIM atau surat kuasa mewakili majikan untuk menguruskan pasport warga asing, sebaliknya mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM1,500 bagi setiap urusan.
“Semakan juga mendapati suspek pernah ditangkap pada tahun 2024 atas kesalahan sama dan telah dikenakan hukuman,” ujar Zakaria.
Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
Seorang lagi lelaki tempatan turut dipanggil membantu siasatan.
JIM menegaskan pihaknya akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan tegas dan berterusan bagi membanteras sebarang aktiviti haram yang menggugat keselamatan serta kedaulatan negara, selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












