Esok hari terakhir kunjungi kubah ikonik ASEAN di KLCC
KUALA LUMPUR – Orang ramai yang belum berpeluang merasai pengalaman berada di dalam kubah ikonik Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di pintu masuk utama Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) masih mempunyai masa sehingga esok untuk berbuat demikian.
Kubah yang menjadi mercu simbolik kepada penganjuran sidang berprestij itu akan ditutup kepada pengunjung pada pukul 6 petang (2 November) selepas mendapat sambutan luar biasa sejak dibuka kepada orang awam pada 30 Oktober lalu.
Menurut hantaran salah seorang petugas ASEAN di aplikasi Thread, Fatin Nur, keputusan melanjutkan tempoh lawatan sehari lagi dibuat sebagai menghargai sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Hi semua! Terima kasih sudi hadir. Disebabkan sambutan yang menggalakkan, Kubah ASEAN Summit 2025 ini akan melabuhkan tirainya pada pukul 6 petang, 2 November (Ahad).
“Marilah datang melawat ikonik kubah ASEAN Summit 2025! Jumpa di sini, ya! Terima kasih Perdana Menteri,” katanya.
Pada asalnya, kubah setinggi 10 meter dengan diameter 20 meter itu hanya dibuka selama tiga hari selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Selasa lalu.
Namun, pamerannya dilanjutkan hingga esok berikutan permintaan tinggi dan kehadiran luar jangka daripada pengunjung.

Struktur berteknologi tinggi itu dihiasi dengan flora dan fauna tropika serta pancuran air yang menambah elemen segar dan harmoni kepada suasana persekitaran, mencerminkan identiti rantau ASEAN yang kaya dengan alam semula jadi.
Menariknya, kubah itu juga menjadi ‘saksi bersejarah’ ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyambut ketibaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 26 Oktober lalu.
Pertemuan itu menjadi antara detik penting sepanjang sidang berlangsung.
Sementara itu, tinjauan di media sosial menunjukkan ramai pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar dan berkongsi pengalaman mereka di dalam kubah berkenaan yang kini menjadi tumpuan baharu di KLCC.
Tidak kurang juga yang memuji keunikan reka bentuk dan kreativiti pasukan di sebalik pembinaan kubah itu, menyifatkannya sebagai lambang perpaduan dan kemajuan seni bina rantau ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












