BERITA SEMASA

Fadhlina lancar Kelab Perempuan Membaca KPM sempena PBAKL

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini melancarkan Kelab Perempuan Membaca Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 bagi memperkukuh budaya membaca dalam kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Menurut beliau, penubuhan kelab itu bertujuan menghimpunkan seramai mungkin wanita yang mencintai buku termasuk golongan ibu, gadis muda dan kanak-kanak perempuan yang gemar membaca.

fadhlina
Fadhlina 

Katanya, inisiatif tersebut juga menjadi ruang penting dalam memastikan akses kepada bahan bacaan terus diperkasakan walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa.

“Niatnya kudus. Tiada yang lain, melainkan mahu menghimpunkan seramai mungkin wanita pembaca, para ibu yang membaca, gadis muda yang cerdas membaca dan kanak-kanak perempuan yang suka membaca.

“Paling utama, ia adalah ruang penting untuk memastikan akses kepada bahan bacaan tidak akan putus walau apa jua rempuhan dan tribulasi yang melanda,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut mengajak orang ramai untuk hadir memeriahkan pelancaran kelab tersebut sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh budaya ilmu dan pembacaan dalam masyarakat.

Tambahnya, penubuhan Kelab Perempuan Membaca diharap dapat menggerakkan citra ‘Kota Baca’ serta melahirkan lebih ramai wanita berilmu dan berfikiran kritis.

“Kelab Perempuan Membaca, citra wanita cerdas akal dan budi,” katanya.

PBAKL 2026 telah berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bermula semalam sehingga 7 Jun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button