BERITA SEMASA

Fahmi bimbang kandungan pro-Zionis tembusi algoritma TikTok

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyuarakan kebimbangan terhadap langkah TikTok yang dilapor akan mengurangkan pasukan moderator manusia dan bergantung sepenuhnya kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, langkah itu boleh membuka ruang kepada kandungan pro-Zionis menembusi algoritma platform berkenaan sekali gus menimbulkan risiko terhadap pengguna di Malaysia.

Fahmi (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Sany Araby Al-Kahery (kiri) ketika merasmikan pameran realiti maya Gaza Time Tunnel.

“Saya bimbang sekiranya kandungan pro-Zionis ini mula masuk ke dalam algoritma kita.

“Sebab itu saya memberi bantahan awal dan terus menghubungi CEO TikTok sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran realiti maya (VR) Gaza Time Tunnel sempena Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu TikTok yang melantik seorang bekas pegawai tentera Israel, Erica Mindel sebagai Pengurus Dasar Awam Ucapan Kebencian di New York, Amerika Syarikat.

Menurutnya, meskipun isu itu dilaporkan berlaku di New York, beliau risau kesannya meluas hingga ke Asia termasuk Malaysia.

Katanya, beliau telah mengeluarkan surat untuk mengadakan pertemuan dengan pihak TikTok awal September bagi mendapatkan penjelasan, selain turut memanggil beberapa platform media sosial lain bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara.

“TikTok telah dilesenkan di Malaysia. Kalau perlu, kita akan ambil tindakan tegas. Namun, kita juga tahu ramai rakyat menggunakan platform ini untuk berniaga dan berkarya, jadi kita akan cari titik keseimbangan,” jelasnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button