BERITA SEMASADALAM NEGERIKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Fitnah Tabung Haji: MCMC giat siasat, tindakan menanti penyebar – Fahmi

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat menjalankan siasatan susulan laporan yang dikemukakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung penyebaran beberapa video berunsur fitnah dan hasutan di laman sosial.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan laporan berkenaan telah diterima dan siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya tak ada maklumat terkini. Penahanan biasanya akan dibuat oleh pihak polis. Pihak MCMC tidak ada kuasa untuk menahan. Jadi ia adalah pada pihak polis. Boleh rujuk kepada pihak PDRM nanti,” katanya

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Pelancaran Kempen Denyut Nadi Merdeka dan Pengumuman Operasi Rapid KL Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di ibu negara hari ini.

Baca juga : Cubaan sebar video hasutan, TH buat laporan polis, MCMC

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan turut memaklumkan TH telah pun mengemukakan dua laporan iaitu kepada pihak polis dan juga MCMC.

“Mengenai isu Tabung Haji dan fitnah yang disebarkan dalam media sosial, saya sahkan bahawa pihak Tabung Haji telah membuat laporan kedua-dua laporan polis dan juga kepada pihak MCMC.

“Jadi individu yang didapati telah mengeluarkan fitnah terhadap Tabung Haji, terutama selepas penjelasan yang diberikan oleh Tabung Haji dan juga jawapan yang diberikan oleh Menteri Agama dalam Parlimen, maka pihak-pihak tersebut sedang dikesan untuk diambil tindakan.

“Sebaran palsu juga adalah satu jenayah yang mana boleh dikenakan hukuman sekiranya disabitkan di mahkamah denda sehingga RM500,000. Bukan jumlah yang kecil,” katanya.

Dalam masa yang sama, Fahmi turut memberi peringatan agar orang ramai berhati-hati dengan maklumat yang diterima, merujuk kepada kes terdahulu yang melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

“Kita telah lihat sebelum ini bagaimana media sosial, dalam kes Allahyarhamah Zara Qairina, ada seorang cikgu yang menyebarkan fitnah kononnya Allahyarhamah telah dimasukkan ke dalam mesin basuh. Cikgu itu telah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

“Seorang lagi telah menipu dirinya kononnya seorang pakar patologi, tapi fitnah dia telah tersebar dalam media sosial hingga menjadi satu fitnah besar, dan dia juga telah ditangkap serta ditahan reman tiga malam. Saya percaya dalam masa terdekat akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Samalah juga dalam kes Tabung Haji. Fitnah yang dilemparkan maka tindakan akan diambil berlandaskan undang-undang, semestinya Seksyen 233 iaitu penyalahgunaan rangkaian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button