Garces kembali berlatih bersama Alaves selepas CAS benarkan rayuan sementara
KUALA LUMPUR – Pertahanan warisan Harimau Malaya, Facundo Garces menerima lampu hijau untuk kembali menjalani latihan bersama kelabnya, Deportivo Alaves selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) meluluskan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penggantungan yang dikenakan sebelum ini.
Kelab LaLiga itu berkata, Garces dibenarkan menyertai sesi latihan pasukan tanpa menjejaskan keputusan muktamad rayuan yang masih dalam pertimbangan CAS.
Sebelum ini, pemain kelahiran Argentina itu digantung selama 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak berkuat kuasa 25 September lalu, susulan isu pemalsuan dokumen melibatkan pemain warisan.
Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut mengesahkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dibenarkan menyertai semula semua aktiviti bola sepak buat sementara waktu selepas CAS membenarkan permohonan penangguhan berkenaan.
Selain Garces, enam lagi pemain terlibat ialah Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.
Keputusan itu membolehkan Garces kembali memperkuatkan Alaves dalam saingan LaLiga, manakala Figueiredo, Irazabal dan Hevel berpeluang menyarung semula jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Malaysia, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) serta Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee.
Bagaimanapun, semua pemain terbabit masih perlu menunggu keputusan muktamad CAS bagi menentukan nasib sebenar mereka selepas rayuan penuh diputuskan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






