Garis panduan AI, program latihan, inisiatif Kementerian Digital perangi online scam
KUALA LUMPUR – Pembangunan garis panduan berkaitan AI atau kecerdasan buatan sebagai langkah mengatasi penipuan dalam talian (online scam) yang menyalahgunakan teknologi itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, garis panduan yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Digital melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) itu adalah satu daripada langkah proaktif memerangi penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan membimbangkan.
Beliau berkata, antara dokumen yang dirangka termasuk Garis Panduan Penilaian Impak Perlindungan Data, Reka Bentuk Berasaskan Perlindungan Data, serta Garis Panduan Pembuatan Keputusan Automatik dan Pemprofilan Individu.
“Usaha ini bertujuan memastikan penggunaan teknologi AI di Malaysia selamat, beretika dan menghormati hak asasi serta undang-undang sedia ada.
“Tindakan ini diambil susulan peningkatan mendadak dalam kes penipuan dalam talian, terutamanya yang menggunakan teknologi AI seperti video ‘deepfake’ dan peniruan suara,” katanya dalam kenyataan Kementerian Digital hari ini.
Gobind berkata, selain pembangunan garis panduan, kementeriannya turut memperkenalkan Garis Panduan Pengadaptasian AI di Sektor Awam (GPAISA) menerusi Jabatan Digital Negara, bagi menyokong jabatan serta agensi kerajaan menggunakan teknologi AI secara bertanggungjawab dan berlandaskan tadbir urus yang baik.
Pada masa sama katanya, program latihan dan pembangunan kapasiti turut giat dilaksanakan, antaranya melalui inisiatif ‘AI Untuk Rakyat’ dan latihan MD Workforce oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang memberi fokus kepada peningkatan kemahiran dalam bidang AI dan keselamatan siber di kalangan penjawat awam serta penguat kuasa.
“Kementerian Digital akan terus komited memperkukuh ekosistem AI yang selamat dan berdaya tahan, selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital serta keselamatan siber,” ujarnya.
Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 35,368 kes jenayah siber membabitkan penipuan kewangan dalam talian dilaporkan pada 2024.
Angka tersebut meningkat 2.53 peratus berbanding 2023 dengan kerugian berjumlah RM1.58 billion.
Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2025, Malaysia merekodkan 12,110 kes penipuan dalam talian, melibatkan penipuan seperti tawaran e-dagang palsu, pinjaman palsu, dan skim pelaburan tidak wujud dengan
jumlah kerugian mencecah RM573.7 juta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












