Gelombang peluru berpandu Iran gegar Tel Aviv, beberapa letupan dilaporkan
TEL AVIV – Bandar Tel Aviv digegarkan dengan beberapa letupan selepas Iran melancarkan gelombang baharu serangan peluru berpandu ke arah Israel awal pagi tadi, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan konflik di Asia Barat.
Menurut laporan media antarabangsa, beberapa letupan kedengaran di sekitar bandar berkenaan ketika sistem pertahanan udara Israel berusaha memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.
Agensi berita tempatan melaporkan, pasukan bomba dan penyelamat dikerahkan ke beberapa kawasan perumahan berhampiran pusat komersial Tel Aviv bagi memadam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada serpihan peluru berpandu.
“Letupan kedengaran di seluruh Tel Aviv selepas Iran melancarkan satu lagi serangan peluru berpandu ke arah Israel,” memetik laporan portal Middle East Eye.
Serangan terbaharu itu berlaku ketika Israel memperluaskan operasi ketenteraannya terhadap kumpulan Hizbollah di Lubnan dan berikrar akan membalas tindakan kumpulan pejuang yang disokong Tehran itu susulan pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, Sabtu lalu.
Media milik kerajaan Iran pula melaporkan bahawa peluru berpandu yang dilancarkan menyasarkan beberapa lokasi strategik di tengah Tel Aviv.
BACA JUGA:
Senat AS tolak usul henti serang Iran, konflik dijangka berlarutan hingga 2 bulan
Trump dakwa Iran lumpuh, Tehran jadi ‘bandar hantu’ selepas dibedil bertalu-talu
Wartawan antarabangsa di Tel Aviv melaporkan, sekurang-kurangnya dua gelombang letupan hampir serentak bergema di bandar tersebut, manakala jejak roket turut kelihatan menerangi ruang udara di Netanya, bandar di utara Tel Aviv di pesisir Laut Mediterranean.
Selepas serangan itu, perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA) memaklumkan, pihaknya memeriksa beberapa lokasi yang dipercayai menjadi sasaran, namun setakat ini tiada laporan kecederaan.
Polis Israel pula berkata, pihaknya sedang menilai beberapa lokasi di tengah Israel yang dipercayai terkena serpihan peluru berpandu, dengan beberapa kerosakan harta benda dilaporkan.
Dalam satu kejadian, sebuah projektil dilaporkan mengenai bangunan di pinggir Tel Aviv sehingga memaksa penduduk dipindahkan ke kawasan lebih selamat.
Di sebuah lagi kawasan perumahan berhampiran pusat ekonomi Israel itu, anggota bomba dilaporkan bertungkus-lumus memadam kebakaran yang tercetus akibat serpihan roket yang dipintas oleh sistem pertahanan udara.
Pada masa sama, Komando Barisan Hadapan Israel mengeluarkan beberapa amaran serangan roket kepada komuniti berhampiran sempadan Lubnan pada awal pagi Jumaat sebagai langkah berjaga-jaga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












