BERITA SEMASA

Petani berusia ancam keterjaminan makanan, Fadillah gesa tarik minat belia sertai sektor pertanian

SERDANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof melahirkan kebimbangan terhadap keterjaminan makanan negara apabila hampir separuh petani di Malaysia kini berusia lebih 60 tahun yang sekali gus menjejaskan daya saing dan produktiviti sektor pertanian.

Beliau berkata, situasi itu perlu ditangani segera bagi memastikan kelangsungan sektor pertanian dan bekalan makanan negara berada pada tahap selamat.

“Kita tidak boleh biarkan perkara ini berterusan. Kita mesti tarik minat golongan muda untuk menyertai bidang pertanian.

“Ini penting bagi menjamin kelestarian industri pertanian negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut mencadangkan agar pendekatan lebih progresif diambil untuk menggalakkan penyertaan generasi muda, antaranya melalui insentif yang lebih menarik, penggunaan teknologi moden serta penjenamaan semula imej sektor pertanian.

“Teknologi seperti pertanian pintar, automasi dan mekanisasi perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar bidang ini dilihat lebih efisien dan menguntungkan. Ini juga boleh bantu tingkatkan hasil dan kurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manual,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kerjasama menyeluruh daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperkukuh pembangunan sektor pertanian negara.

“Keterjaminan makanan bukan isu kecil. Ia menyentuh soal keselamatan dan kedaulatan negara. Justeru, usaha ini perlu digerakkan secara kolektif dan berterusan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button