GISB: 448 kanak-kanak sudah dikembalikan ke pangkuan keluarga
TUMPAT – Seramai 112 kanak-kanak dari rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat Global Ikhwan Services Sdn Bhd (GISB) masih berada di bawah jagaan kerajaan dan pihak yang dipertanggungjawab manakala 448 orang telah dikembalikan ke pangkuan keluarga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebahagian daripada kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal masih tidak dipulangkan kepada ibu-bapa kerana ada di antara mereka yang takut untuk menuntut anak masing-masing.
Beliau memaklumkan, lima kanak-kanak kini berada di bawah penjagaan Orang Yang Layak dan Sesuai, manakala 107 lagi ditempatkan di lapan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas mahkamah mengeluarkan perintah tetap serta interim.
“Ada ibu bapa yang ingin menuntut semula anak mereka tetapi mungkin dinasihatkan pihak tertentu untuk tidak berbuat demikian kerana takutkan tindakan kerajaan. Itu tidak adil,” katanya memetik laporan FMT hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Integrasi Kasih Madani di Kampung Pasir Pekan Tengah, di sini, hari ini.
Menurut Nancy, penyerahan semula kanak-kanak sebelum ini tertangguh kerana proses perundangan dan siasatan polis namun setelah semuanya selesai, anak-anak tersebut perlu dikembalikan kepada ibu bapa mereka.
Beliau turut menyeru ibu bapa yang masih ragu-ragu untuk tampil berbincang membuang rasa takut kerana kementerian tidak mempunyai agenda tersembunyi.
Sebaliknya kata Nancy, usaha yang dilakukan adalah untuk memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak terpelihara.
“Kami bertindak berdasarkan undang-undang. Saya menyeru ibu bapa yang mungkin telah mengubah fikiran supaya datang kepada kami.
“Keputusan terbaik perlu dibuat demi kebaikan anak-anak. Walaupun kami menyediakan penjagaan yang baik, kasih sayang ibu bapa tetap tidak dapat digantikan,” ujarnya.
Nancy turut memaklumkan, daripada 560 kanak-kanak yang ditempatkan di pusat perlindungan sebelum ini, 283 adalah lelaki dan 277 perempuan.
Mereka ditempatkan di bawah jagaan sementara JKM selama dua bulan mengikut Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












