Guan Eng dakwa larangan alkohol di sekolah isu sensitif, cetus kegusaran
KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penganjuran majlis melibatkan alkohol di kawasan sekolah di Parlimen semalam sebagai isu sensitif yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Cina.
Menurut beliau, pandangan yang disuarakan Perdana Menteri itu dianggap mencampuri adat dan amalan komuniti Cina yang telah diamalkan sejak sekian lama, khususnya dalam urusan sosial dan majlis tradisi.
“Pandangan berkenaan seperti pencerobohan yang tidak perlu terhadap adat resam komuniti Cina yang telah diamalkan selama beberapa dekad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Guan Eng menjelaskan bahawa dewan komuniti Cina di sekolah vernakular telah digunakan sejak dahulu untuk menganjurkan pelbagai majlis seperti perkahwinan, makan malam dan acara sosial yang kadangkala melibatkan hidangan alkohol.
Namun katanya, semua majlis tersebut diadakan di luar waktu persekolahan dan tidak melibatkan pelajar.
“Masyarakat Cina berasa kecewa kerana Anwar membiarkan dirinya dipengaruhi golongan pelampau dengan mengganggu amalan yang tidak pernah menimbulkan masalah kepada sesiapa,” ujarnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan sekiranya larangan terhadap alkohol itu akan diperluas kepada makanan tradisi komuniti Cina termasuk hidangan daging babi yang sering disajikan dalam majlis perkahwinan atau makan malam adat.
“Memandangkan daging babi diharamkan di institusi kerajaan, adakah selepas ini sekolah rendah Cina akan dilarang menghidangkannya pada majlis perkahwinan atau makan malam adat?” soalnya.
Guan Eng turut mengingatkan bahawa ketika PAS berada dalam kerajaan sebelum ini, tiada sebarang campur tangan terhadap aktiviti seumpama itu di sekolah vernakular.
Beliau dalam masa sama memaklumkan bahawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke telah berhubung secara langsung dengan Perdana Menteri bagi mencari penyelesaian yang adil dan seimbang terhadap isu berkenaan.
“Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dalam semangat persefahaman dan keadilan, sebagaimana Loke berjaya memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang di matrikulasi dan universiti,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












