JAKIM kekal kuasa pastikan piawaian halal Malaysia tidak dikompromi
KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak pernah dan tidak akan berkompromi terhadap standard halal negara meskipun wujud pelbagai dakwaan yang cuba mencabar integriti sistem pensijilan halal sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata, JAKIM akan kekal sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab memastikan piawaian halal Malaysia dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak termasuk badan pensijilan luar negara.
Beliau menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya Malaysia melonggarkan standard halal susulan Perjanjian Perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat, sambil menyifatkannya sebagai tidak benar dan berpotensi menjejaskan reputasi sistem halal negara.
“Malaysia tidak sesekali berkompromi terhadap Standard Halal Malaysia. Mana-mana badan pensijilan halal luar negara, termasuk dari Amerika Syarikat, tetap tertakluk sepenuhnya kepada prosedur, syariah dan standard halal Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, perkara 2.5 dalam perjanjian berkenaan hanya memperuntukkan penggunaan logo halal daripada badan pensijilan yang diiktiraf oleh JAKIM bagi tujuan pentadbiran dan kelancaran proses kelulusan.
Walau bagaimanapun, jelasnya, semua proses pengauditan, pemantauan dan pengesahan akhir tetap berada di bawah kawalan penuh JAKIM.
“Bagi abatoir atau loji sembelihan yang menghasilkan produk daging dan ayam untuk dieksport ke Malaysia, kelulusan halal hanya diberikan selepas melalui pengauditan menyeluruh mengikut Malaysian Standard dan The Malaysian Protocol for Halal Meat & Poultry Production.
“Pengauditan mesti dilaksanakan dengan kehadiran sekurang-kurangnya dua pegawai syariah daripada badan pensijilan halal yang diiktiraf, dan laporan audit itu pula diperakukan oleh Jawatankuasa dilantik JAKIM,” katanya.
Mohd Na’im menegaskan, pengiktirafan sijil halal luar negara tidak bermakna wujud kelonggaran terhadap piawaian Malaysia, sebaliknya langkah itu bertujuan mempercepatkan urusan pentadbiran dan memperkukuh hubungan perdagangan dua hala.
Beliau menjelaskan bahawa semua produk import tetap tertakluk kepada audit JAKIM, pemantauan berkala serta peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011, bagi menjamin integriti dan ketelusan sistem halal negara.
“JAKIM memastikan standard pensijilan halal Malaysia kekal utuh dan tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.
LPengiktirafan hanya diberikan selepas melalui proses audit menyeluruh terhadap tahap pematuhan kepada Standard Halal Malaysia,” ujarnya.
Tegas Mohd Na’im lagi, setiap perjanjian antarabangsa yang ditandatangani Malaysia tertakluk kepada peraturan sedia ada dalam negara dan hanya berkuat kuasa setelah diterjemahkan ke dalam undang-undang domestik.
“Pendekatan ini memastikan urusan perdagangan berjalan lancar tanpa mengorbankan prinsip syariah dan piawaian halal negara,” jelasnya.
Beliau menegaskan, Malaysia kekal tegas mempertahankan kedaulatan dan keutuhan standard halal negara, yang kini diiktiraf sebagai penanda aras global dan diguna pakai oleh banyak negara Islam serta bukan Islam di seluruh dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











