BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Hanya kenderaan ditemui, mangsa hanyut di Pintasan Saloma masih belum dijumpai

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki India yang dipercayai dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma diteruskan pagi tadi sebelum kenderaan mangsa ditemui lebih 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kenderaan pacuan empat roda itu ditemui pada pukul 8.30 pagi ketika operasi dimulakan dalam keadaan paras air yang rendah setinggi satu meter.

Operasi SAR Sungai Klang
Sazalee (tiga dari kiri) dan M. Fatta (tiga dari kanan) bercakap kepada pemberita dalam operasi SAR di Sungai Klang pagi tadi.

“Keadaan kenderaan kosong dan mangsa tidak berada di dalamnya. Kenderaan itu telah diangkat dan diserahkan syarikat pemiliknya.

“Cuaca pagi ini agak baik dan kami percaya usaha mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga petang,” katanya kepada pemberita.

Menurut Sazalee, operasi itu membabitkan semua elemen termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis serta 21 penyelam skuba dari bomba dan unit marin PDRM.

“Operasi SAR dibahagikan kepada empat zon sepanjang laluan Sungai Klang sejauh hampir 20 kilometer. Selain itu, dron, perahu dan kayak turut digunakan bagi memastikan pencarian menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, M. Fatta M. Amin berkata, keadaan air yang surut dan jernih pagi ini memudahkan operasi berbanding semalam apabila arus deras menyukarkan pencarian.

“Hari ini kita fokus kepada empat zon utama dan melanjutkan kawasan pencarian sehingga Puchong, Shah Alam dan Klang.

“Operasi menggunakan dron, kayak dan bot kecil diteruskan bagi menyusuri laluan Sungai Klang sejauh 20km,” jelasnya.

Operasi SAR
Kenderaan mangsa yang ditemui 1.5 kilometer dari lokasi ia dihanyutkan.

Beliau menambah, setiap struktur dan halangan di sungai diambil kira untuk dijadikan lokasi tumpuan diver bagi memastikan pencarian lebih berkesan.

“Sekiranya tiada petunjuk yang sesuai, diver tidak akan menyelam. Zon yang mempunyai struktur tertentu dijadikan hotspot untuk memastikan kemungkinan mangsa berada di situ,” katanya lagi.

Operasi SAR tersebut dijangka diteruskan sepanjang hari dengan kerjasama semua agensi sambil pihak berkuasa terus menilai dan menyesuaikan strategi berdasarkan perkembangan cuaca dan petunjuk di lokasi.

Dalam kejadian pada pukul 5.40 petang Isnin lalu, mangsa bersama 12 pekerja pembinaan dihanyutkan arus deras Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma.

Bagaimanapun, 12 pekerja berkenaan berjaya diselamatkan namun mangsa masih gagal dikesan sehingga kini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button