Hari Keselamatan Internet 2026 fokus peranan ibu bapa, lindungi anak daripada ancaman siber
KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 pada 8 Februari ini memberi tumpuan khusus kepada peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan internet anak-anak, selain memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bukhari Yahaya berkata, sambutan kali ini menampilkan pendekatan lebih praktikal menerusi penganjuran acara komuniti berskala besar di Tasik Titiwangsa.
Menurut beliau, orang ramai bukan sahaja diberi penerangan berkaitan keselamatan digital, malah turut dibantu secara langsung oleh pasukan teknikal dan pakar keselamatan digital untuk menetapkan ciri keselamatan pada peranti masing-masing.

“Berbanding program sebelum ini yang lebih berbentuk taklimat, kali ini kita menyediakan bantuan secara terus, termasuk kaedah menetapkan kawalan ibu bapa pada telefon bimbit dan peranti digital lain.
“Kita turut melibatkan penyedia platform seperti TikTok, Google dan Facebook bagi membantu ibu bapa memahami serta mengaktifkan ciri keselamatan yang tersedia pada aplikasi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara – Hari Keselamatan Internet 2026: Internet Selamat, Tanggungjawab Bersama, terbitan Bernama TV, di sini, malam tadi.
Bukhari berkata, pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) turut membuka reruai bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai isu jenayah siber, termasuk taktik penipuan terkini dan langkah yang perlu diambil sekiranya menjadi mangsa.
Menurut beliau, pendedahan itu membolehkan orang ramai mempelajari cara mengenal pasti tawaran mencurigakan, menyemak kesahihan maklumat serta mengetahui saluran yang betul untuk membuat laporan.
Selain itu, sambutan berkenaan turut menyaksikan pelancaran rasmi Kempen Internet Selamat 2026 yang kali ini diperluaskan kepada komuniti dan golongan belia.
Katanya, berbanding penganjuran sebelum ini yang lebih memfokuskan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, kempen tahun ini mengambil pendekatan lebih menyeluruh bagi melibatkan masyarakat umum.
“Kempen keselamatan internet dilaksanakan setiap tahun. Tahun lalu, fokusnya kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, namun tahun ini skop kempen diperluaskan merangkumi komuniti dan belia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












