Pemain sayap Harimau Malaya, Richard Chin sah sertai Ross County
KUALA LUMPUR – Pemain sayap Harimau Malaya, Richard Chin sah menyertai kelab Liga Perdana Scotland, Ross County FC dari Raith Rovers FC dengan nilai perpindahan tidak didedahkan.
Perpindahan itu diumumkan kedua-dua kelab hari ini, sekali gus menyaksikan pemain berusia 23 tahun berkenaan membuka lembaran baharu dalam karier profesionalnya selepas semusim bersama Raith Rovers.
Sepanjang bersama kelab berkenaan, Chin mencatat 32 penampilan dengan tiga jaringan gol serta menjadi antara tonggak penting pasukan dalam saingan liga.
Pencapaian itu turut melengkapkan musim positifnya apabila beliau turut dipanggil menyertai skuad kebangsaan Harimau Malaya sebelum melakukan penampilan sulung antarabangsa menentang Palestin pada September tahun lalu.
Selain itu, Chin turut membantu Raith Rovers menjulang Piala Cabaran Scotland, sekali gus menambah pengalaman berharga dalam kancah bola sepak Scotland.
Raith Rovers dalam kenyataan menzahirkan penghargaan atas sumbangan pemain itu sepanjang berada di Stark’s Park, sambil mengucapkan selamat maju jaya untuk kariernya di peringkat seterusnya.
Ross County pula menyifatkan kehadiran Chin sebagai tambahan penting kepada skuad, khususnya dalam memperkukuh bahagian serangan pasukan.
Pengurus pasukan, Stuart Kettlewell berkata Chin memiliki kepantasan serta keupayaan melakukan larian di bahagian sayap selain boleh beraksi di beberapa posisi dalam jentera serangan.
Chin sebelum ini merupakan produk akademi Charlton Athletic FC dan pernah membuat 17 penampilan bersama skuad utama kelab itu dalam saingan League One dan Piala Liga EFL.
Beliau turut berpengalaman bersama beberapa kelab lain termasuk Dartford, Bath City dan Farnborough dalam liga bawahan England sebelum berhijrah ke Scotland.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












