BERITA SEMASA

HASiL lancar Op Syahbandar

MELAKA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) hari ini menggerakkan 2,195 pegawainya di seluruh negara bagi melaksanakan tindakan semakan pematuhan melibatkan 1,300 kes yang sudah dikenal pasti.

HASiL dalam satu kenyataan hari ini berkata, Operasi Pematuhan Cukai Peringkat Nasional 2026 yang turut dikenali sebagai Op Syahbandar itu akan berlangsung selama lima hari dan merupakan langkah memperkukuh pematuhan cukai serta membanteras ketirisan hasil negara.

Pejabat HASiL Melaka bertindak sebagai tuan rumah bagi pelancaran operasi bersepadu tersebut yang memberi tumpuan kepada aktiviti audit melibatkan cukai syarikat, cukai selain syarikat serta cukai majikan.

“Selaras dengan perkembangan ekonomi digital dan landskap perniagaan semasa, industri pembuatan dikenal pasti sebagai fokus utama Op Syahbandar pada tahun ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

HASiL turut memaklumkan, antara pembayar cukai yang diberikan perhatian dalam operasi itu ialah syarikat yang melaporkan pendapatan lebih rendah daripada margin industri, syarikat belum pernah diaudit, syarikat dikenal pasti mempunyai risiko dalam tuntutan insentif cukai dan syarikat terlibat dalam transaksi harga pindahan dengan pihak berkaitan di luar negara.

Majlis pelancaran dan sesi flag-off operasi dilaksanakan di Menara HASiL Melaka dan disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL (Pematuhan), Shaharrudy Othman dan turut dihadiri Pengarah HASiL Melaka, Datuk Mohd Shahriz Ramli.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button